Buah-buahan dan Sayur-sayuran: Lima Hidangan Sudah Mencukupi

sayuran buahanPakar pemakanan British pada April lepas menyatakan tujuh hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah kunci kepada kesihatan, bukan lima hidangan seperti yang digariskan dalam garis panduan pemakanan.

Namun terdapat kenyataan baru dalam arena pemakanan sihat yang menyatakan cadangan lima hidangan yang terkenal itu, yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), adalah memadai.

Penyelidik di China dan Amerika meneliti 16 terbitan kajian mengenai diet dan kesihatan yang melibatkan lebih 830,000 orang peserta, yang dipantau untuk tempoh antara empat setengah hingga 26 tahun.

Saintis mendapati bahawa setiap tambahan hidangan harian buah-buah dan sayur-sayuran mengurangkan risiko kematian awal berpunca daripada pelbagai punca sebanyak 5%.

Menurut penyelidik lagi, di sepanjang tempoh kajian, seramai 56,000 orang peserta meninggal dunia. Bagi kematian yang berpunca daripada serangan jantung atau strok, setiap hidangan tambahan mengekang risiko sebanyak 4%.

Mengikut tinjauan, yang diterbitkan di dalam jurnal online British Medical Journal (MBJ), tiada bukti yang menunjukkan penurunan kadar risiko bagi jumlah hidangan yang melebihi lima.

“Kami menemui takat sekitar lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari, lebih daripada itu tidak menurunkan lagi kadar risiko kematian,” kata penyelidik daripada Harvard School of Public Health, Boston, yang diketuai oleh Frank Hu.

Kajian juga mendapati hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi tidak diterjemahkan kepada pengurangan yang ketara dalam risiko kematian berpunca daripada kanser.

Menurut jurnal tersebut lagi, selain daripada menasihati pesakit tentang makan cara sihat, doktor perlu berusaha keras untuk menyampaikan mesej tentang risiko obesiti, gaya hidup kurang aktif, merokok dan minum minuman keras berlebihan.

Dalam bulan April, penyelidik di University College London mendapati bahawa pengambilan tujuh hidangan harian atau lebih boleh mengurangkan risiko kanser sebanyak 25% dan penyakit jantung sebanyak 31% berbanding mereka yang mengambil kurang daripada satu hidangan sehari.

Kajian tersebut berdasarkan tabiat makan kira-kira 65,000 orang di England di antara tahun 2001 hingga 2008.

Penyelidik London mengakui yang mereka terkejut dengan penemuan mereka dan mengingatkan yang hasil kajian tersebut mungkin tidak terpakai di negara lain.

Garis panduan WHO adalah berdasarkan lima hidangan 80g setara dengan setiap hidangan bersamaan dengan sebiji epal bersaiz sederhana, semangkuk salad campur, atau tiga sudu penuh sayur mentah, dimasak, tin atau beku. – AFP

One Response to Buah-buahan dan Sayur-sayuran: Lima Hidangan Sudah Mencukupi

  1. Dayah Aziz says:

    Terima kasih admin, perkongsian yg menarik dan bermanfaat.Moga memberi kesedaran pada umum betapa pentingnya pemakanan yg sihat boleh mempengaruhi kesihatan yg ramai abaikan. Jika tidak mana mungkin hingga statistik menunjukan pembunuh no.1 adalah penyakit jantung bg kaum lelaki dan kanser ada pembunuh no.1 bg wanita. InsyaAllah jika kita amalkan gaya hidup sihat bermula dr pemilihan pemakana yg betul kita mampu mengubahnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *