Tidur Berkualiti dan Awet Muda

Mahu kulit yang kelihatan muda dan cantik? Menurut kajian terbaru, dapatkan tidur berkualiti.

Satu kajian berskala kecil yang dijalankan di University Hospitals Case Medical Center, Ohio, Amerika, mendapati penidur lemah (kurang tidur berkualiti) menunjukkan pertambahan kesan penuaan kulit dan lambat pulih daripada pelbagai tekanan alam sekitar seperti radiasi ultraungu.

“Sementara kurang tidur kronik dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes, kanser dan defisiensi imun, kesannya ke atas fungsi kulit tidak diketahui sebelum ini,” kata Dr Elma Baron, ketua penyelidik.

Kajian tersebut melibatkan 60 orang wanita berumur antara 30 hingga 49 tahun, dengan separuh daripada mereka tergolong dalam kategori tidur tidak berkualiti. Klasifikasi dibuat berdasarkan purata tempoh tidur dan Indeks Kualiti Tidur Pittsburgh, satu piawai penilaian kualiti tidur yang berasaskan soal selidik.

Penidur lemah menunjukkan pertambahan tanda penuaan kulit intrinsik termasuk garis halus, pigmentasi tidak sekata serta kemerosotan kulit dan pengurangan keanjalan. Penyelidik mendapati subjek yang mempunyai tidur berkualiti pulih daripada tekanan kepada kulit, seperti selaran matahari, dengan baik. Tanggapan kendiri tentang daya tarikan juga jauh lebih baik di kalangan subjek yang tidur dengan baik berbanding dengan mereka yang tidak.

Jika anda rasa tidur anda tergolong dalam kategori tidak berkualiti, berikut adalah tips yang diberikan oleh Klinik Mayo untuk meningkatkan kualiti tidur anda:

  • Masuk tidur pada masa yang tetap setiap hari, walaupun hari minggu.
  • Makan secara sihat dan elakkan kafein atau makan berlebihan pada waktu malam.
  • Cuba gunakan alat bantu tidur seperti penyumbat telinga untuk menyekat gangguan.
  • Bersenam pada waktu siang, ia akan membantu anda tidur nyenyak.
  • Kosongkan fikiran daripada perkara yang menyemakkan dengan menulisnya di dalam jurnal lebih awal, atau membaca buku sekejap sebelum tidur.

Anda mungkin ingat masalah kurang tidur kronik hanya disebaabkan oleh tekanan, ia mungkin juga disebabkan oleh masalah kesihatan seperti apnea tidur. Oleh itu adalah satu idea yang baik untuk berbincang dengan doktor anda jika tidur anda tidak berkualiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *