Puasa Berselang – Kegilaan Diet Masa Kini

puasa-selang-1Trend puasa berselang tercetus daripada diet 5:2 berdasarkan buku yang berjudul “The Fast Diet” oleh wartawan Dr Michael Mosley dan Mimi Spencer. Diet melibatkan puasa berselang di sepanjang minggu untuk menyusutkan benjolan yang degil.

Anda berpuasa dua hari seminggu, tetapi bukan keseluruhan hari – anda makan suku daripada kalori harian biasa anda, kira-kira 500 untuk wanita dan 600 untuk lelaki – dan makan apa yang diinginkan pada 5 hari yang lain (Orang Islam digalakkan berpuasa siang hari pada hari Isnin dan Khamis).

Menurut penyokong diet ini, ganjaran untuk usaha anda adalah penurunan berat badan yang menakjubkan dan pengurangan selera makan. Faedah lain menurut mereka adalah termasuk umur panjang, kelihatan muda dan malah mengelakkan demensia.

Sekarang diet baru telah muncul, termasuk diet 4:3 yang dicipta oleh Dr Krista Varady, yang mengarang buku diet “Every Other Day”, yang melibatkan berpuasa selang sehari.

Seperti dilaporkan oleh The Independent, UK, Yayasan Pemakanan British baru-baru ini menganjurkan simposium mengenai puasa berselang di mana didapati bahawa lelaki tampaknya amat berminat untuk mencuba diet tersebut.

Penyelidik daripada Universiti Southern California juga sedang menjalankan kajian bagaimana kesan puasa berselang ke atas berat badan dan tekanan darah.

Dalam kajian berasingan pada tahun 2011, yang diterbitkan di dalam International Journal of Obesity, membandingkan puasa berselang dengan pengawalan kalori harian, di mana wanita dengan berat badan berlebihan mengurangkan pengambilan kalori mereka sebanyak 20 peratus.

Satu kumpulan mengurangkan pengambilan kalori setiap hari, manakala kumpulan kedua mengurangkan kalori mereka sebanyak 75 peratus dua hari berturut-turut tetapi makan seperti biasa pada lima hari yang lain.

Selepas enam bulan, kedua-dua kumpulan berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram. Terdapat pakar pemakanan yang mempersoalkan konsep berpuasa untuk beberapa hari seminggu.

Heather Mangieri, perunding pemakanan dan jurucakap bagi Persatuan Dietetik Amerika, berpendapat bahawa puasa boleh menyebabkan anda terlalu memberi tumpuan kepada makanan, dan kemudian makan berlebihan pada hari anda tidak berpuasa. Selain daripada itu, orang mungkin memilih untuk makan makanan tidak menyihatkan pada hari tidak berpuasa, yang berkemungkinan akan menyebabkan kekurangan nutrien dan tabiat pemakanan buruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>