Petua Awet Muda: Amalan Yang Patut Ditinggalkan

Adakah anda nampak lebih tua daripada umur anda? Jika anda tidak suka apa yang anda lihat di dalam cermin, ia mungkin masanya untuk menilai beberapa rutin harian anda. Makanan yang anda makan dan juga cara anda tidur boleh membuat anda tidak awet muda dan juga boleh memendekkan jangka hayat anda. Berikut dipaparkan beberapa amalan atau tabiat, mengikut pakar, yang membuat anda tidak awet muda. Juga diberikan petua untuk anda awet muda semula.

Membuat Berbilang Tugas Dalam Sesuatu Masa

Jika senarai tugasan anda seolah-olah tidak akan menjadi lebih pendek, tekanan daripada kesibukan boleh membebankan badan anda. Mengikut Dr. Raymond Casciari, Ketua Pegawai Perubatan Hospital St Joseph, Orange, California, ramai yang fikir bahawa membuat berbilang tugas (multitasking) adalah baik, tetapi anda sebenarnya tidak menyiapkan apa-apa – anda hanya mewujudkan tekanan tambahan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa tekanan kronik mencetuskan pembebasan radikal bebas, molekul tidak stabil yang merosakkan sel dan menyebabkan penuaan.

Daripada cuba untuk melakukan semuanya, Dr. Casciari mencadangkan agar memberi tumpuan kepada satu tugas pada satu masa dan beralih kepada tugasan lain apabila telah menyelesaikannya.

Anda Jarang Tidak Makan Pencuci Mulut

Selain daripada menambah berat badan anda, kegemaran kepada benda manis juga boleh menambah usia pada wajah.

“Secara dalaman, molekul gula melekat pada serat protein dalam setiap sel kita,” kata Dr. Susan Stuart, ahli dermatologi berdaftar dari San Diego, California. “Proses yang merosakkan ini dikenali sebagai “glycation”, boleh mengakibatkan kehilangan keserian, lingkaran hitam di bawah mata, kehilangan tona, kesembapan, peningkatan dalam garis-garis halus dan kedutan dan kehilangan kontur muka dan meningkatkan saiz pori.”

Tinggalkan keinginan kepada benda manis jika anda mahu memulihara cahaya keremajaan anda.

Anda Tidur Malam Kurang Daripada Lima Jam

“Tidur yang tidak cukup bukan sahaja menyebabkan beg hitam di bawah mata – ia juga dikaitkan dengan jangka hayat yang pendek,” kata Dr. Casciari, pengasas pusat kajian tidur di Hospital St Joseph.

Menurut beliau lagi tidur dalam lingkungan tujuh jam adalah terbaik. Tidur lebih awal jika anda mempunyai gejala kurang tidur, antaranya termasuk kekurangan tenaga di siang hari, kelesuan mental, masalah penumpuan, atau berat badan bertambah.

Anda Suka Menonton TV Dalam Tempoh Yang Lama

Dalam satu kajian, yang disiarkan di dalam British Journal of Sports Medicine, yang melibatkan kira-kira 11,000 warga Australia berumur 25 tahun dan ke atas, penyelidik mendapati bahawa bagi setiap jam menonton TV, orang dewasa mengurangkan jangka hayat mereka sebanyak 22 minit. Apatah lagi mereka yang menghabiskan purata enam jam sehari menonton TV, jangka hayat mereka kurang lima tahun daripada mereka yang tidak menonton TV.

“Kesan ini lebih disebabkan oleh duduk dan tidak aktif, bukannya kerana menonton TV. Apabila anda duduk selama lebih daripada 30 minit badan anda mula menyimpan gula ke dalam sel anda, yang juga menambah kemungkinan berat badan anda akan berlebihan. Sama ada anda menonton TV atau duduk di meja anda, bangun setiap 30 minit untuk berjalan-jalan,” kata Dr. Casciari.

Anda Habiskan Hampir Keseluruhan Hari Dengan Duduk

Bahaya yang disebabkan oleh gaya hidup kurang aktif telah banyak diperkatakan. Mereka yang menghabiskan masa mereka duduk di kerusi mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit buah pinggang, sakit jantung, kanser dan apatah lagi obesiti.

Menurut satu kajian dalam British Journal of Sports Medicine, bersenam secara tetap sememangnya membantu mencegah isu kesihatan tersebut dan boleh membuat anda hidup lebih lama, Peserta kajian yang melakukan senaman selama 150 minit atau lebih seminggu hidup 10 hingga 13 tahun lebih lama daripada kumpulan yang tidak aktif.

Anda Tidak Menggunakan Krim Mata

Masukkan penggunaan krim mata yang elok sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kulit untuk mengelakkan kedutan penuaan.

“Kulit di sekitar mata adalah lebih nipis daripada kulit di seluruh muka anda dan menunjukkan penuaan dengan lebih cepat,” kata Dr Stuart. Menjaga kelembapan di bahagian mata boleh membuat anda nampak awet muda.

“Krim mata yang paling berkesan adalah yang mengandungi Retin A, satu bentuk vitamin A,” kata Dr Stuart. Faktor lain yang penting termasuk emolien dan pelembap yang memerangkap kelembapan, antioksidan, asid hyaluronik, dan vitamin C. “Ini menggalakkan pembentukan kolagen dan elastin untuk menegangkan kulit dan mengurangkan garis halus di sekitar mata,” kata Dr Stuart.

Anda Menggunakan Pelindung Matahari, Tetapi Hanya Ketika Bercuti

Menurut Dr. Sarah L. Taylor, Profesor Madya Dermatologi di Pusat Perubatan Wake Forest Baptist, Amerika, urusan harian, memandu, dan berjalan berulang-alik ke peti surat boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada kulit anda daripada seharian di pantai dengan memakai pelindung matahari.

“Punca utama hampir setiap tanda penuaan pra-matang pada muka manusia adalah pendedahan ultraviolet (UV). Cahaya UV wujud walaupun ketika mendung atau hujan. Lindungi kulit anda dengan memakai pelindung matahari setiap kali anda keluar rumah,” kata Dr. Taylor. Beliau menyarankan SPF antara 30 dan 50 untuk kegunaan harian.

Anda Memakai Terlalu Banyak Mekap

“Lupakan pembayang mata biru metalik, mekap berlebihan secara tak langsung boleh membuat anda nampak tua,” kata Dr Stuart. “Memakai mekap berlebihan, khususnya yang berasaskan minyak, boleh menyumbat liang kulit anda dan menyebabkan penularan. Di samping itu, penggunaan berlebihan produk penjagaan yang mengandungi minyak wangi, bahan kimia merengsakan, dan ejen alkohol boleh mengeringkan kulit dengan mengeluarkan minyak semula jadi, yang menyebabkan garis-garis dan kedutan pra-matang.”

Anda Tidur Dengan Muka Tersembam Dalam Bantal

Tidur meniarap atau mengiring dengan muka tersembam di atas bantal boleh membuat kedutan dan mempercepatkan penuaan.

Tisu penghubung dan kolagen di muka anda menjadi lebih lemah dan kurang sokongan dengan usia,” kata Dr. James C. Marotta, seorang pakar bedah plastik muka dan penjagaan kulit pakar berdaftar. “Oleh itu, apabila anda tidur di sebelah muka yang sama malam demi malam, kulit anda akan tidak memantul atau menegang balik secepat seperti yang berlaku ketika anda masih muda.”

Kesan kedutan yang disebabkan bantal boleh menjadi kekal. Oleh itu, tidur melentang atau beli sarung bantal satin untuk menjaga kelicinan kulit.

Anda Minum Menggunakan Straw

Menurut Dr. Janet Prystowsky, seorang ahli dermatologi berdaftar dari New York, minum minuman dengan menggunakan straw boleh menyebabkan kedutan terbentuk di sekitar mata anda, menkeriputkan bibir anda untuk menyedut juga boleh menyebabkan kedutan pra-matang di sekeliling mulut. Ia juga berlaku apabila menghisap rokok.

Oleh itu minum minuman anda dari gelas minuman untuk mengelakkan kedutan.

Anda Membuang Semua Lemak Dari Diet Anda

Sesetengah lemak adalah perlu untuk mengekalkan penampilan dan perasaan muda anda, kata Franci Cohen, pakar pemakanan dan senaman fisiologi berdaftar dari Brooklyn, New York. Kata beliau lagi asid lemak omega-3, yang baik untuk kesihatan jantung, yang ditemui dalam ikan berminyak (seperti salmon dan mackerel) dan kacang tertentu (seperti walnut dan biji flaks) menjaga kegebuan dan kemontokan kulit, dengan itu menghalang kedutan, dan ia juga meningkatkan kesihatan jantung dan kesihatan otak.

Akademi Pemakanan dan Dietetik Amerika mengesyorkan kita memasukkan ikan dalam makanan kita sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Anda Duduk Dengan Malas

“Duduk mengadap papan kekunci berjam-jam lamanya boleh lama kelamaan menyebabkan tulang belakang anda membentuk postur yang tidak menarik dan berkemungkinan menjadi bongkok yang membahayakan,” kata Dr. Jeremy Smith, pakar bedah tulang belakang ortopedik di Hoag Institut Ortopedik, Irvine, California.

Kata beliau lagi, “Tulang belakang mempunyai bentuk-S melengkung yang seimbang untuk menstabilkan dan menyokong kita. Postur teruk atau duduk malas melencungkan tulang belakang dari posisi normal ini, dan hasilnya, otot-otot, cakera dan tulang menjadi tertekan tidak normal.”

Kesakitan dan keletihan sering menyusuli, dan kemungkinan degenerasi tulang belakang dan kecacatan kekal. Amalkan postur yang baik dengan memastikannya di sepanjang hari: telinga, bahu dan pinggul perlu membentuk garis lurus apabila duduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *