Obesiti Pendekkan Umur Selama Lapan Tahun

penimbang_berat_badan

Menurut kajian yang diterbitkan pada 5 Disember lepas, kegemukan dan obesiti melampau boleh mengurangkan jangka hayat sehingga lapan tahun dan membuat seseorang kehilangan sebanyak 19 tahun kesihatan yang baik.

Kajian tersebut – model matematik berdasarkan data kesihatan Amerika Syarikat – harus menjadi alat yang berguna bagi doktor untuk memberi nasihat kepada pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan yang membimbangkan, kata penulisnya.

Kelompok utama yang dibimbangkan adalah mereka yang menjadi gemuk semasa mereka masih muda.

“Coraknya jelas,” kata Steven Grover, profesor epidemiologi di Universiti McGill, Montreal, Kanada.

“Semakin berat seseorang individu dan semakin muda usia mereka, semakin besar kesannya ke atas kesihatan mereka.”

“(…) Mereka mempunyai bertahun-tahun di hadapan mereka, di mana peningkatan risiko kesihatan berkaitan dengan obesiti boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan mereka.”

Pasukan Grover menggunakan data daripada projek besar Amerika Syarikat, Bancian Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan, yang memantau beribu-ribu orang selama bertahun-tahun, untuk menganalisis risiko kematian awal dan penyakit di kalangan orang dewasa dengan berat badan yang berbeza.

Mereka membandingkan orang gemuk dan obes dengan mereka yang mempunyai berat badan normal dari segi jangka hayat. Mereka juga mengira bilangan tahun kesihatan yang baik setiap individu boleh harapkan mengikut statistik. Kesihatan baik ditakrifkan sebagai bebas daripada penyakit kardiovaskular atau diabetes – dua penyakit yang berkait rapat dengan berat badan yang berlebihan.

Anggaran adalah untuk mereka yang berumur antara 20 hingga 79.

Menurut tulisan tersebut, yang dipaparkan dalam jurnal Lancet Diabetes dan Endokrinologi, hasilnya adalah dramatik. Individu yang berada dalam kategori berat badan berlebihan – yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) 25-29.9 – dianggarkan kehilangan antara sifar hingga tiga tahun jangka hayat. Jangka hayat antara 0.8 hingga 5.9 tahun hilang untuk orang gemuk dengan BMI 30-34.9.

Yang amat gemuk, dengan BMI 35 atau lebih, hilang di antara 0.9 hingga 8.4 tahun jangka hayat. Kerugian terbesar dalam jangka hayat adalah di kalangan mereka yang berumur 20-39. Sebaliknya, bagi mereka yang sedikit sahaja berat badan berlebihan. kerugian adalah lebih kecil dan kadang-kadang boleh diabaikan.

“Tempoh Hidup Sihat” hilang disebabkan diabetes dan masalah kardiovaskular adalah di antara 0.5 hingga 19.1 tahun. Kehilangan terbesar adalah golongan Wanita yang obes berlebihan dalam lingkungan umur 20 hingga 39 tahun. Kehilangan paling kurang adalah golongan lelaki dengan berat berlebihan yang berumur antara 60 hingga 79.

Data yang datang daripada subset 4,000 orang dalam kajian tahun 2003-2010 tersebut, yang semuanya berkulit putih, yang mana butiran mengenai kesihatan dan gula darah mereka diketahui.

Kajian tersebut menyatakan amaran yang diberikan hendaklah dianggap sebagai konservatif, kerana kajian hanya memfaktorkan dua penyakit berkaitan obesiti. Kanser, penyakit pernafasan, hati dan penyakit buah pinggang juga dikaitkan dengan berat badan berlebihan kronik. – AFP, Relaxnews.

Satu Respons untuk Obesiti Pendekkan Umur Selama Lapan Tahun

  1. Set Bersalin says:

    Tq, info yang sangat bagus!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>