Diet Nordic Juga Baik Untuk Jantung
Kajian terbaru mendapati bahawa memakan diet Nordic yang terdiri daripada daging binatang buruan seperti burung puyuh, arnab dan rusa, buah berry dan ikan dapat mengurangkan kolesterol dan menurunkan risiko mendapat sakit jantung.
Sementara diet Mediterranean, yang terdiri daripada minyak zaitun, ikan dan sayur-sayuran segar, yang telah lama dianggap sebagai rancangan pemakanan yang ideal untuk mengurangkan risiko sakit jantung, saintis di Finland telah menemui alternatif yang lebih dekat dengan mereka.
“Penerimaan diet Mediterranean bukanlah mudah di sesetengah tempat di dunia Barat, kemungkinan disebabkan oleh kesusahan menukarkan corak pemakanan, perbezaan budaya dalam rasa dan akses terhad kepada pelbagai makanan,” kata Matti Uusitupa, ketua penyelidik daripada Institut Kesihatan Awam dan Nutrisi Klinikal, Universiti Finland Timur.
“Oleh itu, diet Nordic serantau yang meningkatkan kesihatan telah dicadangkan sebagai alternatif kepada diet Mediterranean.”
Kajian tersebut melibatkan 166 orang pesakit obes dari Finland, Sweden, Denmark dan Iceland yang makan samada diet biasa mereka atau diet Nordic.
Sementara kedua-dua kumpulan memakan jumlah kalori yang sama, pengikut diet Nordic makan banyak hasil tempatan seperti berry, sayur-sayuran berumbi, legum dan kobis.
Mereka juga memakan tiga hidangan ikan seminggu, kekacang, daging binatang buruan, produk bijirin penuh dan minyak biji sesawi.
Mereka yang memakan diet biasa mereka, makan mentega dan kurang mengambil berry dan sayur-sayuran, dan tiada sekatan ke atas pengambilan daging merah dan roti putih.
Selepas 24 minggu, mereka yang di dalam kelompok kawalan tidak menunjukkan perubahan ketara dalam tahap kolesterol tidak baik (LDL) di dalam darah mereka. Sementara mereka yang mengambil diet Nordic menunjukkan penurunan 4%, hasil kajian juga menunjukkan peningkatan dalam kolesterol baik (HDL).
Sebagai perbandingan, kajian ke atas diet Mediterranean menunjukkan ia dapat mengurangkan kolesterol sebanyak 6% hingga 9%.
Peserta kajian yang mengambil diet Nordic juga menunjukkan penurunan tahap bahan dalam darah yang menyebabkan radang arteri, yang dikaitkan dengan sakit jantung dan diabetes jenis 2.
Hasil kajian tersebut diterbitkan di dalam Journal of Internal Medicine – AFP-Relaxnews
Leave a Reply