Kolesterol Dalam Telur Mungkin Tidak Menjejaskan Kesihatan Jantung: Kajian

Kajian juga mendapati kolesterol pemakanan tidak menunjukkan peningkatan kepada risiko sakit jantung.

Feb 16, 2016 (HealthDay News) — Menurut kajian terbaru, telur yang selama ini dikatakan mungkin menyebabkan sakit jantung tidak lagi boleh dipersalahkan.

Para penyelidik Finland berkata bahawa malah pembawa gen — dipanggil APOE4 — yang meningkatkan kepekaan kepada kolesterol pemakanan nampaknya tidak mempunyai apa-apa yang harus ditakutkan tentang kesan telur, atau mana-mana kolesterol pemakanan, terhadap kesihatan jantung.

Penemuan tersebut hasil daripada kajian lebih 20 tahun ke atas tabiat pemakanan 1,000 orang lebih lelaki Finland. Semuanya mempunyai jantung yang sihat di permulaan kajian, dan lebih kurang satu pertiga pembawa gen APOE4, kata penyelidik.

“Ia agak diketahui ramai bahawa pengambilan kolesterol pemakanan mempunyai kesan sederhana ke atas paras kolesterol darah, dan pengambilan kolesterol atau telur tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung dalam kebanyakan kajian,” kata Jyrki Virtanen, Ph.D., pengarang kajian. Beliau adalah Profesor Adjunct epidemiologi pemakanan di Institut Kesihatan Awam dan Pemakanan Klinikal, Universiti Finland Timur di Kuopio, Finland.

“Namun begitu, pengambilan kolesterol pemakanan mempunyai impak yang lebih tinggi ke atas kolesterol darah di kalangan mereka dengan APOE4,” tambah Virtanen. “Oleh itu adalah dianggap pengambilan kolesterol mungkin akan mempunyai impak yang lebih kuat ke atas risiko penyakit jantung di kalangan mereka. Namun begitu, kajian kami tidak mendapati peningkatan risiko walau pun di kalangan pembawa APOE4.”

Walaupun kajian tidak menemui kaitan antara kolesterol pemakanan dengan kesihatan jantung yang tidak baik, penulis kajian mengatakan mereka tidak dapat membuktikan bahawa kolesterol pemakanan tidak mempunyai kesan ketara ke atas penyakit kardiovaskular. Sebagai contoh, satu pembatasan kajian yang dicatat oleh penulis adalah mereka mengumpul maklumat pemakanan di awal kajian, dan mereka tidak mungkin dapat tahu jika pemakanan subjek berubah selepas itu.

Laporan penemuan Virtanen dan rakan-rakan diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition. keluaran 10 Februari 2016. Kajian tersebut dibiayai oleh Universiti Finland Timur, dan Virtanen menambah bahawa tidak terdapat sedikit pun pembiayaan daripada sumber industri telur.

Finland mempunyai jumlah pembawa APOE4 yang lebih tinggi daripada purata, yang melibatkan satu pertiga penduduk, kata penyelidik. Tetapi tidak banyak diketahui sama ada pengambilan kolesterol pemakanan memberi kesan kepada jantung mereka yang mempunyai gen EPOE4 atau pun tidak, tambah penulis kajian.

Penyelidikan baru itu memasukkan mereka yang berumur di antara 42 dan 60. Kajian mendapati secara purata, kolesterol pemakanan purata yang diambil adalah 398 miligram (mg). Tiada siapa yang dilaporkan mengambil lebih daripada satu biji telur setiap hari, secara purata. Satu telur sederhana mempunyai kira-kira 200 mg kolesterol, kata penulis kajian.

Pada akhir tempoh penjejakan 21 tahun, 230 orang telah mengalami serangan jantung. Tetapi, penulis kajian memutuskan bahawa bukan tabiat telur, atau pengambilan kolesterol keseluruhan, mempunyai apa-apa kesan terhadap risiko serangan jantung atau risiko pengerasan dinding arteri.

Virtanen menyatakan bahawa tidak ada peserta kajian mempunyai penyakit jantung atau diabetes pada pelancaran kajian. “[Dan] terdapat beberapa data kajian daripada populasi kajian lain yang telur atau pengambilan kolesterol boleh meningkatkan risiko penyakit jantung di kalangan pesakit kencing manis,” katanya. “Oleh itu, kajian kami bukan ‘lesen’ untuk makan kolesterol atau telur sebanyak yang disukai.”

Beliau menambah bahawa “mungkin juga terdapat satu ketika di mana pengambilan kolesterol atau telur menjadi begitu tinggi sehingga ianya boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Walau bagaimanapun, dalam kajian kami, kami tidak dapat menilai apa yang dikatakan terlalu banyak, kerana kita tidak mempunyai cukup orang dengan pengambilan yang sangat tinggi. “

Lona Sandon adalah seorang pakar diet berdaftar dan penolong profesor nutrisi klinikal di Pusat Perubatan Universiti Texas Southwestern di Dallas. Beliau berkata, sementara “kesederhanaan dalam segala-galanya” adalah caranya, “orang boleh merasa yakin tentang menambah telur, termasuk kuning telur, ke dalam diet harian mereka.”

“Telur adalah kuasa besar pemakanan,” katanya, “dengan kebanyakan nutrisi terdapat dalam kuning telur. Kuning telur mempunyai vitamin D, lemak penting, choline, lutein, zeaxanthin, dan banyak lagi. Baik untuk tulang, baik untuk otak, dan baik untuk mata. [Dan] putih telur adalah protein berkualiti tinggi, dan juga sumber vitamin B.”

Kolesterol pemakanan tidak mempunyai kesan yang banyak ke atas paras kolesterol darah seperti yang difikirkan sebelum ini, tambah Sandon. Beliau juga menyatakan bahawa Persatuan Jantung Amerika telah lama menggugurkan cadangan had kolesterol hariannya. Sebaliknya, lemak tepu dan gula adalah punca masalah yang lebih mungkin dari segi risiko penyakit jantung, kata beliau, di samping latihan yang tidak mencukupi.

“[Jadi] sebiji telur sehari dalam konteks pola diet yang sihat tidak kelihatan menimbulkan risiko untuk penyakit jantung atau memberi kesan kolesterol pemakanan mengikut kajian semasa,” katanya. “[Tetapi] sebiji telur sehari di atas biskut mentega dan kuah bukanlah caranya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *