Tak Perlu Berjalan 10,000 Langkah Sehari

Untuk menjaga kesihatan, kita disarankan untuk berjalan 10,000 langkah setiap hari. Perlukah berjalan sampai 10,000 langkah sehari sebagai cara menjaga kesihatan? Bagaimana kalau berjalan tak sampai 10,000 langkah sehari, apakah masih dapat menjaga kesihatan? OK ke kalau hanya mampu buat 4,000 langkah sehari?

Ada berita baik. Anda tak perlu berjalan 10,000 langkah sehari untuk mendapat manfaat kesihatan. Dalam kajian yang diterbitkan pada Mac 2020 (Jama Network), penyelidik mengatakan berapa banyak langkah pun akan memberi kesan baik dalam penjagaan kesihatan.

Mereka yang berjalan antara 4,000 hingga 8,000 langkah sehari boleh mengurangkan risiko mendapat kanser atau sakit jantung sebanyak dua pertiga. Sekiranya berjalan sebanyak 12,000 langkah sehari, risiko dapat dikurangkan sehingga 90 peratus. Dalam satu kajian lain, juga diterbitkan pada Mac 2020, peserta kajian yang berjalan sebanyak yang mampu setiap hari di sepanjang 9 tahun kajian memperolehi pengurangan risiko kencing manis sebanyak 43 peratus dan 31 peratus risiko tekanan darah tinggi. Untuk penghidap kencing manis, berjalan selama 30 minit sehari sebelum atau selepas makan, mempunyai impak yang besar dalam menurunkan tahap gula dalam darah.

Tips Untuk Memulakan Langkah Tersebut

Agak susah nak berjalan 10,000 langkah sehari, namun ianya tidak mustahil jika kita komited untuk mecapainya. Berikut adalah cadangan bagaimana untuk mendapat 10,000 langkah sehari:

  • Beli kasut yang selesa untuk berjalan: Jika kasut kurang selesa, kaki akan melecet atau sakit. Justeru fikir banyak kali nak berjalan.
  • Berjalan ke tempat kerja: Parkir jauh sikit daripada ofis anda, kemudian berjalanlah ke ofis.
  • Berjalan ke kedai runcit: Daripada memandu ke kedai runcit berdekatan, yang saya selalu buat sebelum ini, kini saya berjalan 1,000 langkah pergi dan balik untuk membeli beberapa barangan keperluan.
  • Gunakan tangga: Yang ni tak perlu banyak fikir. Kalau nak 10,000 langkah sehari, anda jangan guna lif atau eskalator – guna tangga.
  • Bawa masuk satu beg beli-belah pada satu masa: Sama ada barangan runcit atau barangan lain, bawa masuk ke dalam rumah satu demi satu – dengan cara itu anda akan mendapatkan lebih banyak langkah.
  • Pergi window shopping: Ini boleh menjadi satu yang menyeronokkan, terutamanya di musim perayaan. Pergi berjalan-jalan di kawasan membeli-belah. Ia adalah peluang untuk melihat apa yang dijual dan juga melihat sekitar bandar.
  • Cari tempat yang menarik untuk berjalan: Di hujung minggu, rancang lokasi yang ingin diterokai; pantai, hutan, taman bunga, atau mana-mana tempat yang anda fikir nak lawat tapi tak pergi-pergi lagi.

Idea umumnya adalah untuk istiqamah berjalan. Ianya satu matlamat yang baik, dan ia lebih baik untuk jantung anda dan kesihatan diri anda daripada duduk di sofa berjam-jam lamanya.