20 Benda Yang Patut Dibuang

Bila bercakap tentang langkah yang perlu diambil untuk menjadi lebih sihat, ia selalunya melibatkan membeli benda baru: pakaian sukan, kelengkapan senaman, bahan untuk resipi sihat, buku resipi sihat dan macam-macam lagi. Namun untuk menjadi sihat, selain daripada mendapatkan benda baru, anda perlu juga membuang benda yang boleh menjejaskan kesihatan anda.

1. Bekas Plastik Lama

Periksa semua bekas plastik yang anda gunakan untuk pastikan ianya bebas BPA. Buang semua bekas yang bertanda dengan nombor 3, 6 atau 7 (rujuk: http://kesihatan.biz/artikel/bahaya-dalam-bekas-makanan-minuman-plastik). BPA, bahan yang digunakan dalam pembuatan plastik, mungkin akan menyerap masuk ke dalam makanan dan minuman yang disimpan di dalamnya, dan ia membahayakan kesihatan. Elakkan daripada memanaskan apa-apa jenis plastik di dalam ketuhar mikro kerana dikhuatiri akan berlaku kebocoran bahan kimia.

2. Penyegar Udara

Walaupun beberapa syarikat telah mengumumkan akan memberhentikan penggunaan phthalates secara berperingkat, yang digunakan untuk membantu wangian tahan lama, banyak penyegar udara (pepejal, semburan, dan plug-in) yang masih mengandungi bahan kimia tersebut, yang dalam dos yang besar mungkin mempunyai kesan berbahaya pada sistem pembiakan. Penyegar udara hanyalah bahan kimia berbau wangi yang disembur ke dalam udara. Adalah lebih sihat jika punca bau dihapuskan daripada menutupnya dengan bahan kimia.

3. Sabun Anti Bakteria

Menurut laporan FDA pada tahun 2014, sabun antibakteria bukannya lebih berkesan membunuh bakteria berbanding sabun biasa, dan ia mungkin tidak selamat. Triclosan, bahan aktif dalam pembersih antibakteria, telah dibuktikan boleh merubah peraturan hormon pada haiwan, dan terdapat juga kebimbangan bahan kimia tersebut boleh menyebabkan rintangan antibiotik.

4. Timbunan Soda Diet Anda

Jika belum lagi, anda mungkin mahu menimbang semula tabiat soda diet anda, terutamanya jika anda cuba untuk menurunkan berat badan. Kajian yang banyak dihebohkan, yang diterbitkan dalam jurnal Nature mendapati pemanis tanpa kalori seperti sakarin, sucralose, dan aspartame boleh mengucar-kacir bakteria usus yang memainkan peranan penting dalam metabolisme yang sihat. Para penyelidik mendapati kaitan antara pemanis ini, mikrob usus terubah, intoleransi glukosa dan sindrom metabolik (kedua-dua prekursor untuk diabetes jenis 2) dalam tikus dan manusia.

5. Kasut Sukan Lusuh

“Kebanyakan kasut untuk berlari perlu digantikan setiap 300 hingga 400 batu”, kata Dr. Jason Karp, pakar fisiologi senaman dan penulis buku “Running for Women”. Bagi seseorang yang berlari sebanyak 30 batu seminggu, itu kira-kira setiap tiga bulan. Apabila kasut yang dipakai haus, ia kehilangan fungsi kusyen dan kurang mampu menyerap kesan pendaratan kaki anda dengan setiap langkah, jadi lebih daya dihantar kepada otot, tulang dan tendon, membuat anda menghadapi risiko kecederaan, jelas beliau. Jika anda bukan seorang pelari, gantikan kasut anda kira-kira setiap enam bulan atau sebaik sahaja anda nampak bunganya sudah haus.

6. Berus Gigi Lama

Jika anda memberus setiap waktu pagi dan petang seperti yang disarankan, maka bulu berus gigi anda mungkin menjadi lusuh lebih cepat daripada yang anda fikirkan. “Dalam pengalaman saya, bulu mula lusuh selepas kira-kira dua bulan penggunaan, jadi saya mengesyorkan pesakit saya menggantikan berus mereka setiap tiga bulan,” kata Dr. Ruchi Sahota, jurucakap Persatuan Pergigian Amerika. Berus gigi lusuh kurang berkesan untuk membersihkan gigi dan melawan kerosakan.

7. Barang Bersepah

sepah“Akhirnya, kita adalah apa yang kita fikirkan, dan apa yang kita fikirkan amat dipengaruhi oleh apa yang kita simpan di sekeliling kita,” kata Gail Blanke, penceramah motivasi dan pembimbing kehidupan, dan pengarang buku “Throw Out Fifty Things”. Dia memanggil perkara-perkara yang tidak mempunyai tujuan tertentu atau tidak memberi sebarang kebaikan kepada anda sebagai “plak hidup”: “Lebih banyak plak kehidupan terkumpul di sekeliling kita, semakin kurang tumpuan yang kita boleh berikan kepada apa yang kita benar-benar ambil berat,” terang beliau.

Tidak pasti di mana nak mula? Buang barang-barang yang menyakitkan hati anda setiap kali anda melihatnya, seperti stoking yang telah hilang pasangannya, atau barang-barang yang melimpahi laci dapur anda. Tidak kira apa yang anda putuskan untuk buang (atau dermakan), matlamat anda adalah untuk mengurangkan objek fizikal hingga hanya kepada objek yang dapat membantu anda berasa bertenaga dan mencapai matlamat anda.

8. Pakaian Yang Tidak Lagi Dipakai

Tengok dalam almari anda, berapa banyak pakaian yang tidak dipakai dalam tempoh setahun yang lalu? Ramai orang yang telah turun berat badan tetapi masih menyimpan pakaian saiz yang lebih besar takut-takut berat badan naik semula. Sementara yang lain menyimpan pakaian yang mereka pakai ketika di sekolah tinggi, manalah tahu suatu masa nanti boleh muat untuk pakai semula. Dalam kedua-dua hal tersebut, melihat pakaian lama tersebut boleh menyebabkan perasaan tidak senang. Itu bukan perasaan yang seseorang mahu rasa ketika sedang bersiap-siap.

9. Baki Makanan Yang Lama Tersimpan Di Dalam Peti Sejuk

Apabila melibatkan makanan sangat mudah rosak, yang mengandungi bahan-bahan daripada haiwan, peraturan umum adalah makan, minum, atau bekukan selepas tiga hari, kata Michael P. Doyle, PhD, Pengarah Pusat Keselamatan Makanan, Universiti Georgia, Amerika Syarikat. “Listeria dikaitkan dengan perkara-perkara yang menakutkan seperti meningitis, keguguran, dan malah kematian,” katanya. “Ia boleh membiak sehingga berjuta-juta pada suhu peti sejuk dalam tempoh kurang seminggu.”

10. Maskara Lama

Alat solek cecair, termasuk maskara, boleh menyimpan banyak kuman, kata Dr. Thomas Steinemann, jurucakap Akademi Oftalmologi Amerika. Itulah sebabnya mengapa beliau mencadangkan supaya dibuang maskara dua hingga tiga bulan selepas dibuka. “Setiap kali anda menggunakan maskara, anda memberusnya dan apa-apa kuman pada bulu mata,” katanya. “Anda juga mencemarkan berus dengan lebih banyak bakteria daripada kulit atau bulu mata anda, kemudian menjunamkannya ke dalam persekitaran suhu-bilik yang lembap, yang menggalakkan pertumbuhan bakteria.”

“Salah satu fungsi utama bulu mata adalah untuk menyimpan serpihan dan kuman daripada memasuki mata anda, jadi ia adalah penting untuk memastikan alat solek yang anda gunakan bebas kuman sebebas yang mungkin,” tambah beliau.

11. Bekas Kanta Sentuh Kotor

“Penggunaan bekas kanta sentuh kotor adalah salah satu faktor risiko utama untuk mendapat jangkitan mata,” kata Dr. Steinemann, yang mencadangkan menggantikan bekas kanta sentuh sekurang-kurangnya setiap tiga bulan, dan juga membersih, diterlungkup dan dikering-udara, dan larutan ditukar setiap hari. “Walaupun anda menjaga bekas kanta sentuh anda dengan cermat, biofilem berdaki yang terkumpul di permukaan adalah satu magnet untuk kotoran dan kuman,” jelas beliau. “Jika anda tidak tukar kepada yang baru, anda mendedahkan diri kepada risiko jangkitan mata yang serius seperti ulser kornea yang – walaupun sembuh – akan meninggalkan parut yang boleh menjejaskan penglihatan anda,” tambah beliau.

Tuan/puan, jangan main-main dengan mata anda!!!

12. Rempah Lama

Rempah yang telah bertahun-tahun tersimpan di kabinet anda mungkin tidak akan membuat anda sakit, tetapi ia tidak akan menambah apa-apa rasa kepada makanan anda, yang merupakan kunci apabila anda hendak memasak makanan yang sihat dan tidak berlebihan lemak atau kalori. Rempah segar boleh memberi perbezaan antara makanan hambar, yang boleh membuat anda melupakan hasrat anda untuk memasak, dengan makanan yang sedap rasanya.

13. Pelindung Matahari Lama

“Bila bercakap mengenai pelindung matahari, tarikh tamat tempoh perlu diberi perhatian,” kata Beth Lange, PhD, Ketua Saintis Majlis Produk Penjagaan Diri. Bahan kimia yang menghalang cahaya matahari pecah selepas tempoh tertentu, jadi tidak kira berapa banyak anda sapu, ia tidak akan melindungi kulit daripada penuaan atau risiko kanser.

14. Pengilat Bibir Lama

Apa-apa sahaja yang digunakan di sekitar mulut akan mengumpul banyak bakteria dengan cepat, dan lebih lama bakteria duduk di tiub lembap, semakin banyak ia membiak. Ini meningkatkan risiko jangkitan jika ia masuk ke dalam luka atau retak pada kulit halus di bibir anda. Oleh itu, pakar mencadangkan supaya anda membuang pengilat bibir atau alat solek bibir lain tidak lebih daripada enam bulan selepas anda membuka dan mula menggunakannya, atau pada tarikh tamat tempoh, yang mana lebih awal.

15. Penapis Udara Berabuk dan Tersumbat

Jika anda menggunakan pembersih udara di rumah, dapatkan kualiti yang bagus. “Alat penapis udara yang menepati piawai HEPA – jenis yang paling berkesan – sangat penting kerana kualiti udara dalaman adalah 25 hingga 100 kali lebih buruk daripada di luar rumah,” kata Philip Tierno, PhD, seorang ahli mikrobiologi di Universiti New York. Malah, keluasan purata 1,500 kaki persegi boleh mengumpul 40 paun habuk (40,000 hama/auns). Debu, kulat, dan bakteria di dalam udara boleh memburukkan keadaan mereka yang mengidap asma, justeru penapis udara yang baik sangat membantu,” tambah beliau. Hanya jangan lupa untuk menggantikan penapis dengan kerap, jika tidak anda sebenarnya membiakkan kulat dan bakteria, dan meniup kembali bahan cemar ke dalam udara anda. Berapa kerap bergantung pada jenis penapis yang digunakan, jadi semak dengan pembekal anda dan gunakan logik akal. Salah satu tanda-tanda ia perlu dibuang adalah bau hapak.

16. Coli Yang Dah Longgar

Bilakah kali terakhir anda membeli bra? Getah dalam coli boleh memanjang dari masa ke masa (mesin basuh mempercepatkan proses ini) yang bererti kurang sokongan untuk payudara anda. “Menggantikan coli apabila ia tidak lagi memberi keselesaan dan sokongan akan membantu mengurangkan sakit belakang di kalangan wanita yang mempunyai berat badan berlebihan, dan boleh melambatkan proses penuaan semulajadi dalam tisu payudara,” kata Dr. Kristi Fun, pakar payudara. (Proses semula jadi penuaan adalah menjadi kendur).

17. Span Dapur Anda

Kajian menunjukkan span dapur adalah benda yang paling banyak mengumpul kuman di dalam kebanyakan rumah. Sesetengah pakar mengesyorkan span dipanaskan dalam gelombang mikro setiap hari untuk membunuh bakteria. Namun adalah lebih baik untuk tidak menggunakannya langsung. Bila anda gunakan span untuk membersihkan air daging, yang mungkin mengandungi mikrob berbahaya seperti salmonella, dan ia kekal lembap pada suhu bilik, ia akan membiak dengan cepat dan kajian menunjukkan mesin basuh pinggan tidak boleh membunuhnya. Doyle menasihatkan supaya menggunakan kain lap untuk membersihkan pinggan mangkuk, tukar kain setiap beberapa hari, dan basuh yang kotor bersama pakaian anda. Disebabkan ia lebih nipis daripada span, ia kering lebih cepat justeru ia dengan lebih ketara dapat memperlahankan pertumbuhan bakteria.

18. Papan Pemotong Plastik

“Menghiris dan memotong di atas papan pemotong plastik akan mencalarkan permukaannya. Apabila bakteria masuk ke dalam alur calar tersebut dan mula berkembang, adalah sangat sukar untuk menghapuskannya,” kata Doyle. Beliau mengesyorkan beralih kepada papan memotong kayu kerana kayu mengandungi resin yang secara semula jadi anti-mikrob. Terjemahan: Apabila anda calarkan papan pemotong kayu dan bakteria menyerap masuk ke dalamnya, ia mati dan bukannya hidup subur.

19. Peranti Pintar

Anda tidak perlu membuang iPhone atau Android anda (phew!), tetapi anda perlu padamkannya dari semasa ke semasa. Banyak kajian menunjukkan bahawa maklumat yang berlebihan – apa yang berlaku apabila anda selalu menggunakan peranti pintar – dikaitkan dengan kemurungan dan keresahan. Kajian terbaru menunjukkan bahawa ini adalah benar untuk mereka yang tidak boleh berpisah dengan telefon pintar dan tablet mereka, dan juga bagi mereka yang menggunakan beberapa peranti dalam masa yang sama (yang pakar panggil sebagai media multitasking). Kurangkan penggunaannya dan simpan peranti pintar anda di dalam laci sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu untuk memberi peluang kepada otak anda untuk berehat, idealnya mengikut jadual yang ditetapkan (contohnya, hari bekerja selepas 9 malam, atau hujung minggu waktu pagi hingga tengah hari).

20. Kerusi Anda

Menurut Robert Emery, profesor Kesihatan Pekerjaan di Fakulti Kesihatan Awam, Universiti Texas, kajian global menunjukkan bahawa kebanyakan orang duduk 7.7 jam sehari, dan terdapat beberapa anggaran sehingga 15 jam sehari, Duduk berlebihan memberi kesan kepada sistem metabolisme badan, dan boleh membawa kepada obesiti, tekanan darah tinggi, kencing manis, kanser, dan kemurungan. Tetapi ia tidak semudah menggantikannya dengan menghabiskan lebih banyak masa di gimnasium, yang mungkin tidak pun mengurangkan “penyakit duduk”. Persatuan Perubatan Amerika mengesyorkan meja berdiri untuk bekerja sebagai cara terbaik untuk memerangi isu-isu kesihatan yang berkaitan dengan terlalu banyak duduk.

One Response to 20 Benda Yang Patut Dibuang

  1. Badariah says:

    Idea yg bagus. Untuk menjadi sihat perlukan ruang yg segar, lapang, dan kemas. Membuang atau mendermakan barang yg tidak diperlukan adalah tepat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *