Mungkinkah Anda Kekurangan Vitamin B12?
Vitamin B12 adalah nutrien yang sangat penting. Ia membantu membuat DNA, saraf dan sel-sel darah, dan ia adalah penting untuk otak dan sistem imun yang sihat. Metabolisme anda tidak akan berjalan dengan lancar tanpanya. Tetapi vitamin B12 tidak seperti vitamin lain. Ia hanya terdapat di dalam produk haiwan seperti telur, daging, kerang, dan tenusu. Kebanyakan daripada mereka yang tidak mendapat cukup vitamin B12 adalah mereka yang tidak memakan produk haiwan, mempunyai penyakit seliak atau masalah penghadaman lain, atau mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Menurut Maggie Bulan, pakar pemakanan, tanda-tanda kekurangan vitamin B12 termasuk keletihan, degupan jantung yang pantas, kelam otak, dan simptom lain.
Golongan Berisiko Tinggi
Vegetarian atau mereka yang hanya memakan sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan soya mempunyai risiko kekurangan vitamnin B12 disebabkannya ianya secara semulajadi hanya terdapat di dalam produk haiwan. Untuk menampung kekurangan, golongan ini boleh mengambil suplemen vitamin B12 atau makanan yang diperkayakan dengan vitamin B12 seperti bijirin sarapan pagi dan susu bukan tenusu. Jangan lupa untuk semak label terlebih dahulu untuk pastikan ianya diperkaya dengan vitamin B12.
“Satu lagi golongan yang berisiko tinggi adalah mereka yang berusia lebih 50 tahun. Semakin usia meningkat, semakin kurang asid yang dikeluarkan oleh perut, asid perut merupakan kunci kepada penyerapan vitamin B12. Orang tua selalunya kurang selera dan kurang makan, mereka juga mungkin mengambil ubat (seperti ubat pedih ulu hati) yang boleh menurunkan lagi paras asid perut, ” kata Stephanie Middleberg, pakar pemakanan dari Middleberg Nutrition, New York. “Bahkan, beberapa warga tua sebenarnya kehilangan kemampuan untuk menyerap vitamin B12 dari makanan sama sekali, dan harus mendapatkannya melalui suplemen atau, jika kekurangannya akut, melalui suntikan.”
“Perempuan yang mengambil pil perancang juga berkemungkinan mempunyai isu berkenaan dengan penyerapan vitamin B12. Jika anda menggunakan pil perancang untuk jangka masa yang lama, berbincanglah dengan doktor anda samada anda perlu mengambil suplemen vitamin B12,” kata Middleberg lagi.
Simptom Awal
Ada sebab mengapa vitamin B12 diberi julukan vitamin tenaga. Pengambilan vitamin B12 yang tidak mencukupi menjejaskan pengeluaran sel darah merah, dan sebahagian daripada tanda-tanda awal kekurangan vitamin B12 termasuk rasa tak bermaya, keliru, dan lemah. Masalah adalah, kata Middleberg, tanda-tanda ini adalah tidak jelas, dan bukan semua orang mengalami perkara yang sama. Dan kerana ia boleh dikaitkan dengan begitu banyak pencetus lain, kebanyakan orang tidak berfikir untuk membuat pemeriksaan. Jika terdapat simptom-simptom tersebut dan berpanjangan selama beberapa minggu, ia adalah lebih baik untuk mendapat nasihat doktor anda untuk mengetahui jika terdapat sebab-sebab lain. Simptom lain termasuk pening, pemikiran terjejas, dan kekeliruan.
Sumber Terbaik
Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika, hati lembu dan kerang adalah sumber vitamin B12 yang terbaik. Jika anda tidak menyukainya, banyak lagi pilihan yang ada. Daging lembu, ayam belanda, tiram, ayam, ikan trout dan salmon adalah bintang vitamin B12 yang terkenal; satu hidangan setiap satu memberikan anda hampir atau lebih daripada 100% keperluan harian anda (2.4 mcg untuk yang berumur lebih 14 tahun, 2.6 dan 2.8 untuk wanita hamil dan menyusukan masing-masing). Telur (0.6 mcg setiap telur, 10% daripada keperluan harian) dan susu (1.2 mcg setiap cawan rendah lemak, 18% daripada keperluan harian) juga adalah sumber yang baik.
Jika penyerapan menjadi isu, pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin B12 tidak akan menyelesaikan masalah. Bagi mereka yang tidak dapat menyerap vitamin B12 di dalam makanan, pilihan terbaik adalah suplemen vitamin B12 atau makanan yang diperkayakan dengan vitamin B12, yang kebanyakannya membekalkan 100% daripada keperluan harian anda.
Masalah Kesihatan
Kekurangan vitamin B12 dikaitkan dengan penyakit anemia, keadaan di mana sel darah merah kurang. Rawatan biasanya melibatkan injeksi vitamin B12, kemungkinan juga digabungkan dengan suplemen.
Vitamin B12 juga juga penting dalam pengeluaran sel darah putih, yang penting untuk fungsi sistem imun yang betul. Kekurangan vitamin B12 boleh menurunkan imuniti atau meningkatkan kemungkinan mendapat penyakit autoimun.
Kekurangan vitamin B12 yang berterusan selama bertahun-tahun boleh menyebabkan kerosakan neurologik yang teruk dan tidak dapat dipulihkan – lupa, keliru dan tidakupaya memberi tumpuan. Lain-lain kesan sampingan kekal termasuk kerosakan saraf, insomnia, disfungsi erektil, dan masalah usus dan pundi kencing. Banyak simptom boleh dipulihkan jika diketahui lebih awal dan dirawat dengan vitamni B12.
Vitamin B12 adalah larut dalam air, justeru pengambilan berlebihan tidak akan memberi kesan sampingan kepada tubuh. Badan akan menyerap jumlah yang diperlukannya, yang selebihnya akan dibuang melalui air kencing. Namun perlu diambil perhatian, pengambilan vitamin B12 yang banyak dalam suatu masa mungkin menyebabkan cirit-birit dan gatal-gatal.
Leave a Reply