5 Penyakit Kanser Paling Merbahaya
Banyak kemajuan telah dicapai dalam bidang rawatan penyakit kanser. Terdapat banyak rawatan untuk pelbagai jenis kanser, malah dalam beberapa kes ianya dapat disembuhkan. Namun masih banyak yang perlu dilakukan. Kanser kekal sebagai punca kematian No. 2 di Amerika Syarikat selepas penyakit jantung, begitu juga di Malaysia.
Lima jenis kanser – kanser paru-paru, kanser kolon, kanser payudara, kanser pankreas, dan kanser prostat – menyebabkan banyak kematian berbanding kanser jenis lain. Berikut adalah perkembangan penyelidikan mengenai kanser tersebut:
1. Kanser Paru-paru
Rokok merupakan penyebab utama. Tetapi kini mereka yang merokok sudah berkurangan berbanding dulu, tetapi ada di kalangan mereka yang mendapat kanser paru-paru tidak pernah merokok. Jadi mengapa ia membunuh lebih ramai orang daripada mana-mana kanser lain?
“Bekas perokok mempunyai risiko yang tinggi mendapat kanser paru-paru,” kata Dr. Julie Brahmer, pakar onkologi daripada Pusat Kanser Komprehensif Johns Hopkins Sidney Kimmel. “Oleh itu, ia akan mengambil sedikit masa untuk kita lihat penurunan kadar kematian sejajar.”
Seperti kanser lain, ia membantu jika dikesan lebih awal. Perokok yang berumur antara 55 – 77 (atau telah berhenti 15 tahun yang lepas) patut membuat imbasan CT setiap tahun.
Ubat-ubatan baru boleh membantu merawat penyakit ini. “Kami telah melihat perubahan dalam rawatan kanser paru-paru sejak sedekad yang lalu,” kata Brahmer. Beliau merujuk kepada ubat “sasaran” yang mencari perubahan gen yang terdapat dalam sesetengah tumor paru-paru dan “mengarahkan” sistem imun untuk menyerang.
“Kami berharap terapi jenis ini akan diluluskan untuk digunakan dalam perawatan kanser paru-paru dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” kata beliau. “Kami mungkin telah menggerakkan arus, tetapi kita belum sampai di sana lagi.”
2. Kanser Kolon
Kemungkinan untuk hidup adalah sangat baik jika ditemui cukup awal, melalui ujian saringan kolonoskopi atau lain-lain ujian. Tetapi ramai orang tidak mendapatkan ujian-ujian tersebut.
Kanser kolorektal adalah kanser ketiga paling lazim baik di kalangan lelaki atau pun wanita. Lebih 90% daripada mereka yang didiagnosis pada peringkat yang paling awal hidup selama sekurang-kurangnya 5 tahun lagi.
“Semua orang bersetuju bahawa ujian ini berkesan,” kata Otis Brawley, MD, FACP, Ketua Pegawai Perubatan Persatuan Kanser Amerika. Namun kurang separuh daripada kanser kolon ditemui awal. Ujian baru, termasuk yang mencari gen tertentu dalam tumor kolon, boleh membuat kanser ini lebih mudah untuk ditemui awal. Dan satu rawatan yang menggalakkan menggunakan vaksin kanser untuk “melatih” sistem imun untuk menyerang sel-sel kanser kolon.
3. Kanser Payudara
Terdapat lebih ramai pesakit kanser payudara yang masih hidup berbanding sebelum ini. Hari ini, wanita yang didiagnosis pada peringkat awal adalah hampir pasti akan hidup selama 5 tahun atau lebih. Jadi, mengapa masih terdapat 40,000 wanita mati akibat kanser payudara setiap tahun?
Salah satu sebabnya ialah beberapa jenis kanser payudara tumbuh atau merebak lebih cepat dan lebih sukar untuk dirawat daripada yang lain. Para saintis sedang mengusahakan rawatan yang mensasarkan tumor payudara berdasarkan gen mereka.
“Saya yakin bahawa kita akan dapat mengurangkan kadar kanser payudara [kematian] dengan lebih banyak pada masa akan datang, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah,” kata Brawley.
Menurut Brawley, ujian rutin juga boleh menjadi penghalang. Tiada satu ujian yang sempurna, dan tidak semua kumpulan bersetuju mengenai bila wanita harus mula mendapatkan ujian mamogram atau berapa kerap mereka memerlukannya. Versi yang lebih baru seperti mamogram digital dan 3D boleh menjadi lebih tepat dalam mencari kanser bagi sesetengah wanita, terutamanya mereka yang muda atau yang mempunyai payudara yang padat. Itulah kemajuan, tetapi sama ada ia akan menyelamatkan nyawa masih belum dapat dilihat.
Tindakan terbaik yang wanita boleh ambil adalah berbincang dengan doktor tentang berapa kerap dia perlu diperiksa – dan kemudian membuat janji temu.
4. Kanser Pankreas
Kata Brawley, kanser pankreas adalah kanser yang paling jarang berlaku di antara yang tersenarai di sini tetapi ia juga merbahaya. Ia amat sukar untuk dikesan lebih awal.
Lokasinya adalah sebahagian daripada masalah. Pankreas adalah jauh di dalam perut anda, yang membuat ianya sukar untuk merasa kehadiran apa-apa ketulan kanser atau ketumbuhan. Dan tidak ada apa-apa alat pemeriksaan yang baik untuk mengesan kanser jenis ini lebih awal.
Apabila gejala muncul, kanser pankreas biasanya sudah merebak. Hanya 6% daripada mereka yang didiagnosis dengan kanser pankreas bertahan lebih dari 5 tahun.
Penyelidik berharap dengan mengkaji gen, mereka boleh membuat ujian untuk menyaring sesiapa yang mempunyai sejarah kanser pankreas dalam keluarga. Ubat-ubatan baru juga sedang diujikaji. Ada yang mensasarkan saluran darah dan “faktor pertumbuhan” yang membantu sel kanser pankreas merebak. Lain mengajar sistem imun untuk melawan sel kanser pankreas.
5. Kanser Prostat
Satu daripada setiap tujuh lelaki akan mendapat kanser prostat dalam hayatnya. Bagi kebanyakan mereka yang mendapat kanser prostat, peluang adalah baik. Lebih daripada 99% yang didiagnosis pada peringkat awal akan masih hidup 5 tahun selepas itu.
Kanser prostat biasanya tumbuh perlahan-lahan, tetapi apabila ia merebak, ia boleh bergerak pantas. Para saintis sedang mengusahakan ujian baru. Ada yang memeriksa bahan di dalam darah dan air kencing lelaki yang mempunyai kanser prostat. Yang lain mencari gen yang boleh membantu mengenal pasti lelaki yang berisiko tinggi.
Orang lelaki perlu berbincang dengan doktor mereka tentang apa jenis pemeriksaan yang mungkin mereka perlukan, dan apa kebaikan dan keburukan bagi setiap ujian.
Sumber: WebMD.com
Leave a Reply