Kurang Duduk Lebih Berdiri
Ada sebab mengapa kita harus lebih banyak berdiri daripada duduk semasa bekerja. Di samping memberi manfaat kepada kesihatan, pekerja lebih produktif apabila bekerja sambil berdiri. Persatuan perubatan bersetuju bahawa duduk yang berpanjangan mempunyai kesan buruk kepada kesihatan.
Walaupun ramai yang sedar bahawa tidak bagus untuk duduk sepanjang waktu, namun itulah apa yang kita buat. Di tempat kerja kita duduk, makan pun kita duduk (memang makan kena duduk), tengok TV pun duduk dan banyak lagi aktiviti yang kita duduk. Terdapat kaitan antara duduk berpanjangan dengan obesiti. Tak heranlah kenapa ramai di antara kita mempunyai berat badan berlebihan. Kajian menunjukkan duduk berpanjangan boleh menyebabkan obesiti, diabetes dan malah masalah tumpuan di kalangan kanak-kanak.
Untuk menggalakkan orang ramai kurang duduk, ada aplikasi telefon pintar yang diberi nama Hotseat. Ia direka khusus untuk membuat pengguna bangun dari tempat duduk mereka untuk beberapa minit di sepanjang hari. Saya bukan nak promosi aplikasi tersebut. Tetapi kajian yang dijalankan oleh Persatuan Jantung Amerika mendapati 71 peratus daripada pengguna aplikasi tersebut kerap bangun daripada tempat duduk mereka. Di samping itu hampir 87 peratus pengguna menyatakan penggunaan aplikasi tersebut membuat mereka lebih peka berapa lama mereka duduk di sepanjang hari.
Mungkin perkara yang paling penting untuk anda lakukan adalah lebih banyak bergerak. Jangan menghabiskan terlalu banyak masa di satu tempat. Naik tangga berbanding eskalator. Letak kereta jauh sikit daripada kedai agar anda terpaksa berjalan sedikit. Berjalan (sekurang-kurangnya 40 langkah) selepas makan pagi, tengahari atau malam.
Duduk berpanjangan membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, dari obesiti ke sakit belakang dan keletihan postur. Sepatutnya kita semua bergerak lebih banyak daripada duduk.
Leave a Reply