Bahaya Dalam Bekas Makanan Minuman Plastik

plastik

Beberapa kajian terkini telah mengemukakan bukti bahawa beberapa jenis plastik tidak selamat untuk digunakan; plastik ini digunakan dalam banyak produk isi rumah harian dan sering mengandungi tahap BPA yang tinggi. Bisphenol A, atau BPA, adalah bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik. Ia sangat merbahaya kepada kesihatan manusia. BPA dipercayai mengganggu hormon badan kita dan dikaitkan dengan autisme, kecacatan kelahiran, masalah reproduktif dan isu-isu kesihatan yang lain. Anda perlu mengelakkan diri daripada menggunakan produk-produk plastik supaya anda tidak menelan bahan kimia membahayakan bersama-sama dengan makanan dan minuman anda.

Apa yang mengejutkan adalah banyak produk yang dibuat untuk kegunaan bayi dan kanak-kanak kecil seperti botol susu, cawan bayi diperbuat daripada plastik yang mengandungi BPA. BPA juga terdapat dalam lapisan epoksi bekas logam termasuk tin sup dan botol minuman.

Produk Plastik Yang Patut Dielakkan

Kebanyakan daripada produk plastik mempunyai tanda bernombor yang berpadanan dengan jenis plastik ia diperbuat. Nombor, yang dikenali sebagai ‘kod kitar semula’ boleh didapati dalam simbol kitar semula segi tiga (rujuk grafik) yang ditanda pada plastik boleh dikitar semula. Plastik anda ingin elakkan adalah yang mempunyai nombor 3, 6, dan 7 – ini adalah jenis yang boleh melepaskan pengganggu hormon tidak baik dan karsinogen ke dalam makanan dan minuman anda.

recycling-plastic-code

#3 – Polivinil klorida (PVC): Mempunyai di-2-ehtylhexyl phthalate (DEHP). DEHP adalah pengganggu endokrin dan kemungkinan karsinogen.

#6 – Polistirena (PS): Mungkin akan meluluhkan stirena – yang merupakan satu lagi pengganggu endokrin yang mungkin dan kemungkinan karsinogen yang akan masuk ke dalam minuman atau makanan anda.

#7 – Polikarbonat: Mengandungi Bisphenol-A, pengganggu hormon. Kimia ini boleh meleleh keluar apabila ia dipanaskan atau terdedah kepada larutan berasid. Plastik jenis ini sangat biasa digunakan untuk botol minuman, botol susu bayi dan jag air – berhati-hati dengan yang ini!

Tips Penggunaan Selamat

Untuk mengurangkan pendedahan kepada BPA dan toksin plastik yang lain, berikut disenaraikan beberapa tips untuk amalan asas:

  • Gunakan botol susu bayi yang diperbuat daripada kaca atau polipropilin (#5) atau polietilena (#1) – ia tidak mengandungi BPA. Namun berhati-hati, terdapat pengeluar yang menggantikan BPA dengan bisphenol S (BPS), yang kemungkinan sama bahaya dengan BPA.
  • Jauhkan produk plastik jauh daripada haba, walaupun ianya tidak mengandungi BPA – haba biasanya akan menggalakkan pelarutan bahan kimia. Malah jenis plastik lebih selamat juga boleh meluluhkan bahan kimia disebabkan haba atau penyimpanan yang berpanjangan.
  • Bekas atau cawan yang bahagian dalamnya bersalut keluli tahan karat atau seramik adalah pengganti baik bagi plastik.
  • Buang pinggang mangkuk dan cawan plastik, gantikannya dengan yang diperbuat daripada kaca.
  • Berikan mainan yang diperbuat daripada kain kepada anak-anak anda, elakkan yang diperbuat daripada plastik.
  • Simpan makanan dan minuman anda dalam bekas kaca, bukan dalam bekas plastik. Bekas kaca adalah pilihan terbaik dan jauh lebih baik walaupun jika dibandingkan dengan bekas plastik bebas BPA.
  • Jika anda hendak panaskan atau memasak makanan dengan ketuhar gelombang mikro, jangan gunakan bekas plastik walaupun ia dilabelkan ‘boleh digunakan’.
  • Untuk minuman panas anda – gunakan cawan atau gelas yang diperbuat daripada kaca, seramik atau keluli tahan karat – jangan gunakan yang diperbuat daripada plastik atau styrofoam.
  • Jangan guna semula botol minuman plastik yang dimaksudkan untuk digunakan sekali sahaja. Kalau boleh, elakkan daripada menggunakan air yang dibotolkan dalam botol plastik. Lebih baik tapis sendiri air minuman anda dengan menggunakan penapis berkualiti tinggi.
  • Minuman dibotolkan hendaklah digunakan secepat mungkin kerana bahan kimia daripada plastik luluh dari masa ke masa … jangan beli minuman botol plastik jika ia telah berada di rak-rak kedai untuk tempoh masa yang lama.
  • Rasa – Jika minuman anda mempunyai rasa plastik, walaupun sedikit, jangan meminumnya.
  • Sebelum membenarkan doktor gigi menampal gigi anda atau anak anda, sahkan bahawa bahan yang digunakan tidak mengandungi BPA.

Plastik Yang Lebih Selamat

Jika anda ‘terpaksa’ guna bekas plastik, pilihlah yang bertanda dengan nombor 1, 2, 4 atau 5, Plastik yang diperbuat daripada bahan ini dianggap lebih selamat.

#1 – Polietilena tereftalat (PETE),
#2 – Polietilena ketumpatan tinggi (HDPE),
#4 – Polietilena ketumpatan rendah (LDPE),
#5 – Polipropilena (PP).

Penggunaan BPA Dalam Plastik

Bisphenol A, atau dikenali sebagai BPA, adalah sebatian yang digunakan untuk membuat plastik polikarbonat dan resin epoksi. Ia adalah antara jumlah pengeluaran bahan kimia yang paling tinggi di dunia. Lebih daripada 8 bilion paun BPA dihasilkan setiap tahun. BPA adalah bahan kimia yang merbahaya yang menimbulkan risiko kesihatan yang tinggi kepada pengguna dan ditemui dalam plastik tersebut di atas. Satu kajian oleh Institut Kesihatan Negara, Amerika yang disiarkan dalam jurnal Perspektif Kesihatan Alam Sekitar, September 2010, mengaitkan kesan buruk BPA pada tikus ujian dengan kesan negatif kepada manusia.

BPA Dalam Botol Aluminium dan Logam

Bagi menangani pengaratan, banyak botol air logam – terutama yang diperbuat daripada aluminium – disaluti dengan resin epoksi yang mungkin mengandungi BPA. Jurnal Specialty News (jurnal perdagangan industri luar) terbitan Februari 2009 melaporkan bahawa botol aluminium dengan salutan plastik diperbuat daripada epoksi kemungkinan besar mengandungi BPA.

Botol logam ‘selamat’ yang kemungkinan besar bebas BPA adalah yang diperbuat daripada keluli tahan karat (stainless steel), yang lebih tahan karat. Botol keluli tahan karat biasanya tidak mempunyai apa-apa salutan resin epoksi.

BPA Dalam Barangan Dalam Tin dan Yang Dibungkus

BPA juga boleh didapati dalam barangan dalam tin. Sama seperti proses menangani pengaratan dalam botol minuman aluminium dan logam, pengeluar barangan dalam tin sering menggunakan resin epoksi untuk menyalut bahagian dalam tin. Sama ada ia adalah tin sup, sayur-sayuran, atau sos tomato, salutan epoksi tin tersebut kemungkinan mengandungi tahap BPA yang berbahaya, yang boleh luluh daripada salutan ke dalam makanan. Penutup logam bekas kaca juga sering mempunyai lapisan epoksi anti-karat yang mengandungi BPA – justeru hanya disebabkan makanan anda disimpan di dalam bekas kaca, ia tidak bermakna ia bebas daripada pendedahan BPA.

Sumber: WorldPublicUnion.org dan Mercola.com

One Response to Bahaya Dalam Bekas Makanan Minuman Plastik

  1. Nadhirah najwi says:

    Kenapa botol kaca lebih elok dari plastik.Contoh,kalau ada air dalam botol plastik dan kaca didedahkan dekat matahari..kenapa kaca lagi elok? Plastik akan keluarkan bahan kimia.Kaca tidak keluarkan bahan kimia ke? Kalau tak,apa bahan yang bagus ada pada kaca?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *