10 Cara Untuk Kurang Makan
Makan berlebihan banyak keburukannya. Antaranya badan kita mempunyai lebih radikal bebas untuk dihapuskan. Sekiranya tidak dihapuskan, radikal bebas akan merosakkan sel badan, yang akan membawa kepada berbagai masalah kesihatan. Selain daripada itu kita juga mengambil lebih kalori daripada yang diperlukan badan. Kalori berlebihan akhirnya akan bertukar menjadi lemak di dalam badan, yang akan menyebabkan kegemukan atau obesiti. Itu antaranya, banyak lagi…
Dibawah disenaraikan 10 tips untuk mengurangkan pengambilan makanan:
#1. Kunyah gula-gula getah ketika membeli-belah
Mungkin anda pernah dengar tips agar tidak membeli makanan apabila anda lapar. Nah ni dia, anda mungkin mahu kunyah sekeping gula-gula getah kurang gula sebelum anda melalui lorong di supermarket. Ketika mengunyah gula-gula getah, seseorang akan merasa kurang lapar dan mempunyai kurang keinginan kepada makanan ringan. Itu apa yang ditemui dalam dua kajian. Akibatnya, orang tersebut akan membeli lebih sedikit makanan ringan berkalori tinggi, seperti cip, dan membawa pulang pilihan yang lebih sihat, seperti sayur-sayuran.
#2. Hidangkan diri dengan makanan sihat dahulu
Sama ada anda makan di rumah atau di kafeteria, muatkan pinggan anda dengan makanan yang paling sihat dahulu. Kajian menunjukkan mereka yang makan buffet lebih cenderung untuk mengambil hidangan yang lebih besar daripada beberapa makanan yang mereka terlebih dahulu nampak. Jadi, fikir sebelum anda mula memenuhkan pinggan anda. Penuhkan dengan sayur-sayuran atau bijirin penuh sebelum daging yang menggemukkan dan hidangan sisi.
#3. Beli makanan dengan wang tunai
Ia lebih mudah untuk membeli makanan ringan dan pencuci mulut apabila anda membayar dengan kad kredit. Apabila membayar dengan wang tunai, orang biasanya berhenti sejenak. Sebagai contoh, kajian mendapati bahawa pelajar sekolah menengah berfikir dua kali apabila diberitahu untuk menggunakan wang tunai untuk membayar makanan yang kurang sihat seperti biskut manis (cookies), dan mereka sering memilih makanan sihat.
#4. Tutup siaran masakan di TV
Jika anda cuba untuk menurunkan berat badan, melihat makanan di TV boleh membuat anda mahu makanan ringan. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang sedang berdiet makan lebih gula-gula semasa menonton rancangan TV berkaitan makanan daripada apabila menonton program yang tiada bahan mengenai makanan.
#5. Gunakan pinggan berwarna biru
Percaya atau tidak, warna pinggan mangkuk mungkin akan membezakan berapa banyak makanan yang anda ambil. Kajian menunjukkan semakin banyak makanan yang sedondon dengan warna pinggan mangkuk, semakin banyak makanan yang anda akan ambil, justeru fikirkan untuk menggunakan pinggan mangkuk dengan warna yang berbeza.
#6. Gunakan pinggan mangkuk bersaiz kecil
Saiz pinggan mangkuk dan perkakas dapur anda memberi isyarat kepada otak anda tentang berapa banyak yang anda “sepatutnya” makan – dan pinggan dan mangkuk bersaiz besar bermakna lebih banyak makanan. Dalam satu kajian, mereka yang makan hidangan bufet ala Cina, yang disediakan dengan pinggan mangkuk bersaiz besar, mengambil 52% lebih banyak makanan, dan makan 45% lebih daripada mereka yang menggunakan pinggan mangkuk yang lebih kecil.
#7. Tekan butang “pause’ sebelum menyerah kepada keinginan
Makan kerana anda bosan, letih, atau tegang boleh membuat anda tidak dapat mengawal diri. Cuba lambatkan keinginan untuk mencari makanan: Apabila keinginan mendatang, buat sesuatu yang lain untuk selama 5 hingga 10 minit, kemudian lihat jika anda masih mahu makan. Kemungkinan adalah, keinginan akan menjadi pudar, sekurang-kurangnya sedikit.
#8. Jauhkan snek yang tidak sihat daripada penglihatan
Sembunyikan makanan ringan seperti gula-gula dan kerepek di tempat di mana anda tidak dapat melihatnya. Anda mungkin kurang memakannya. Apabila pekerja pejabat menyimpan coklat di atas meja mereka, mereka makan 48% lebih daripada apabila coklat tersebut berada 6 kaki jauhnya dari meja. Jika mereka meletakkan coklat di laci meja mereka, mereka makan 25% kurang daripada jika makanan manis itu berada di atas meja mereka.
#9. Sentiasa pesan “kecil”
Bekas besar boleh menggoda anda untuk makan lebih banyak makanan, walaupun anda telah kenyang atau ianya tidak sedap. Dalam satu kajian, penonton wayang diberikan bertih jagung (popcorn) percuma di dalam bekas bersaiz sederhana dan besar – ada yang segar dan sedap, dan ada yang telah tak sedap rasanya. Mereka yang diberi bertih yang segar di dalam bekas yang besar makan 45% lebih daripada mereka yang mendapat di dalam bekas sederhana. Malah mereka yang mendapat bertih “basi” di dalam bekas yang besar makan 33% lebih daripada mereka dengan bekas bersaiz sederhana.
#10. Makan perlahan-lahan, dan minum air
Suap sedikit-sedikit. Kunyah makanan dengan perlahan-lahan. Ambil masa yang lebih sedikit di antara suapan. Dan minum air (kosong) semasa anda makan. Kajian menunjukkan bahawa langkah mudah ini adalah penting jika anda mahu untuk mengurangkan kalori dan masih berasa kenyang.
Leave a Reply