Mengulang-alik Kesihatan Diri

stres-memanduMelainkan jika anda berkerja dari rumah (yang mempunyai risiko kesihatan tersendiri), kebanyakan kita berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan pulang semula sekurang-kurangnya lima hari seminggu. Dari perspektif kesihatan, kajian menunjukkan berulang-alik adalah berita buruk, dan ia melampaui tekanan yang dialami disebabkan kesesakan jalan raya dan kegeraman dengan karenah para pemandu…yang entah bagaimana anda fikir anda boleh mengatasinya, hari demi hari, minggu selepas minggu, tahun demi tahun.

Menurut beberapa kajian baru-baru ini, berulang-alik – terutamanya jika jaraknya jauh – mempunyai kesan negatif ke atas berat badan, tekanan darah, kualiti/tempoh tidur dan penyakit jantung. Satu kajian menyatakan bahawa lebih lama masa berulang-alik, lebih tinggi indeks jisim badan, ukur lilit pinggang, tekanan darah diastolik dan sistolik, dan faktor-faktor risiko metabolik. Satu lagi kajian mendapati bahawa tekanan darah tinggi, stres dan penyakit jantung lebih cenderung berlaku pada orang yang berulang-alik lebih daripada 50 km sehari. Dan dalam kajian ketiga, penyelidik membuat kesimpulan: “Berulang-alik jarak jauh memberi impak negatif ke atas keupayaan seseorang untuk mendapat tidur yang cukup.”

Penyelesaiannya, jika ada, adalah untuk mencari cara-cara bagi memendekkan jarak ulang-alik anda, bebas tekanan dan tidak sekerap yang mungkin. Berikut adalah beberapa cadangan:

  • Rancang laluan: Jika terdapat beberapa laluan ke tempat kerja anda, buat beberapa percubaan untuk menentukan laluan mana yang boleh membawa anda ke tempat kerja dalam masa yang paling singkat – dan paling kurang menyakitkan.
  • Cuba 40 dalam 4: Jika majikan anda membenarkan, tanya tentang kemungkinan memilih untuk bekerja 10 jam sehari, empat hari seminggu. Anda akan dapati bekerja 10 jam bukanlah memenatkan sangat, dan anda akan menghargai satu hari tambahan tidak bekerja – dan mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
  • Carpool: Ya, anda masih menghabiskan masa di dalam kereta, tetapi sekurang-kurangnya bukan anda yang memandu (dan berhadapan dengan pemandu lain); dan anda juga tidak bersendirian menghadapi kekecewaan di jalan raya, yang semuanya menyumbang kepada stres.
  • Jadualkan dan patuhinya: Satu penjelasan yang mungkin mengapa berulang-alik jauh membawa kepada berat badan yang lebih tinggi, dan sebagainya, bukan sahaja mereka duduk di dalam kereta terlalu lama, tetapi juga ketika mereka tiba di rumah, mereka mempunyai sedikit masa – atau mungkin keinginan – untuk bersenam. Tetapkan jadual bersenam harian, sama ada sebelum atau selepas bekerja dan patuhinya. Ia akan membantu menangani beberapa kesan daripada amalan berulang-alik, termasuk stres.

Bagi kebanyakan orang, berulang-alik adalah satu realiti, dan bergantung kepada peluang pekerjaan dan keadaan hidup, mereka tidak boleh menukar jarak ke dan dari tempat kerja. Tetapi itu tidak bermakna anda ditakdirkan untuk hidup di lorong perlahan dan menerima kesan tidak baik ke atas kesihatan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *