Cara Membuat Kanak-Kanak Suka Makan Sayur
Kajian terbaru, yang diketuai oleh Dr Ayelet Fishbach daripada Fakulti Perniagaan Booth, Universiti Chicago, mendapati bahawa kanak-kanak yang diberitahu makanan tertentu akan membuat mereka menjadi kuat, lebih bijak atau lebih tinggi akan menjadi kurang cenderung untuk memakan makanan tersebut.
“Kami berpendapat bahawa kanak-kanak mengambil kesimpulan daripada pesanan mengenai makanan iaitu jika sesuatu makanan baik untuk sesuatu matlamat, ia tidak boleh menjadi cara yang baik untuk mencapai matlamat yang lain,” terang Fishbach di dalam artikel yang diterbitkan di dalam Journal of Consumer Research keluaran Oktober 2014.
“Oleh itu, jika makanan dipersembahkan sebagai boleh membuat mereka kuat, kanak-kanak akan membuat kesimpulan ianya tidak sedap, dan dengan itu akan kurang memakannya.”
Ringkasnya, kesimpulan kajian adalah cara terbaik untuk memupuk tabiat makan cara sihat di kalangan kanak-kanak adalah mengelak daripada memberitahu mereka yang buah-buahan dan sayur-sayuran akan membuat mereka lebih kuat, tinggi atau bijak. Untuk mendapat kesimpulan ini, penyelidik telah menjalankan lima eksperimen ke atas sampel dengan populasi 270 orang kanak-kanak tadika (berumur antara tiga hingga lima). Kajian mendapati kanak-kanak makan lebih makanan yang dihidangkan tanpa komentar atau ia dihidangkan hanya sebagai makan yang lazat tanpa merujuk kepada “kebaikannya”.
Sementara itu, kajian berasingan yang diterbitkan pada tahun 2013 di dalam jurnal Psychological Science, menerokai pendekatan berbeza dan mendapati mengajar kanak-kanak tentang nutrisi melalui buku boleh meningkatkan pengambilan sayur-sayuran mereka.
Menurut penyelidik, saintis daripada Universiti Stanford, USA, mendapati bahawa kanak-kanak walaupun sangat muda, berumur antara empat dan lima, boleh mendapat manfaat daripada kerangka konseptual, dibina dalam tempoh tiga bulan, yang menggalakkan mereka untuk memahami mengapa makan pelbagai jenis makanan menyihatkan.
Lama kelamaan, kanak-kanak memilih untuk makan lebih banyak sayur-sayuran. – AFP, Relaxnews.
Leave a Reply