Jun
05

Cara Untuk Kuruskan Badan

Saya sedang membangunkan sebuah laman web “Cara Kuruskan Badan” untuk berkongsi maklumat mengenai cara menguruskan badan ataupun untuk turunkan berat badan dengan para pembaca sekalian. Saya mendapat hakcipta ke atas beberapa penulisan mengenai tajuk tersebut dan bahan dari manuskrip tersebut akan saya muatnaik pada setiap minggu di laman web “Cara Kuruskan Badan“. Semua dijemput melayarinya.

Di dalam koleksi “Cara Kuruskan Badan 1″ anda akan:

  • Pelajari fakta mengenai obesiti
  • Mendapat gambaran umum tentang obesiti
  • Menemui hubungan antara obesiti dan gangguan makan
  • Perolehi ilmu tentang obesiti dalam bahasa orang awam
  • Memahami peranan yang lemak dan kolesterol
  • Memahami berat badan anda sendiri
  • Tahu cara menghitung dan menentukan keperluan tubuh anda sendiri
  • Dapat maklumat mengenai obesiti zaman kanak-kanak
  • Temui peranan diet popular tinggi-lemak, sederhana-lemak dan rendah-lemak
  • Pelajari tentang kaedah perubatan untuk membantu mengatasi obesiti
  • Pelajari tentang kaedah alternatif untuk membantu mengatasi obesiti
  • Merasa apa “kelaparan” sebenarnya dan belajar untuk membezakannya setiap hari bagi menentukan bila dan berapa banyak perlu dimakan
  • Tingkatkan kemahiran dalam pengurusan senaman diri
  • Menetapkan matlamat khusus dan konkrit untuk mengubah perilaku anda dan mengawal tabiat buruk yang menjurus kepada obesiti
  • Dan banyak lagi …

Jumpa di sana……

Apr
30

Makanan Seimbang – Betulkah Pilihan Kita?

Piramid makanan seimbang seharusnya menjadi sumber rujukan untuk menentukan makanan seimbang yang perlu diambil seseorang. Namun jika kita kumpulkan semua makanan yang biasa diambil oleh orang ramai, agaknya tak banyak variasi makanan yang diambil – mungkin sekitar 12 jenis aje.  

Kalau diperhatikan, hari-hari kita makan makanan yang hampir sama – sepanjang hidup kita. Tak banyak variasi, justeru tidak hairan jika kita menghadapi berbagai masalah kesihatan. Walau pun seseorang itu kurang arif tentang makanan seimbang, kebarangkalian untuk mendapat kurang zat makanan adalah rendah jika beliau memakan buah-buahan dan sayur-sayuran dari pelbagai warna; ungu, hijau, oren dan sebagainya berbanding dengan hanya mengambil sejenis makanan.

Apa yang saya ingin sampaikan adalah semakin banyak variasi atau jenis makanan yang diambil semakin tinggi kebarangkalian mendapat zat yang diperlukan tubuh. Jika bajet menjadi isu, seseorang perlu mendapatkan maklumat mengenai zat makanan yang diperlukan (protein, lemak sihat, karbohidrat, vitamin dan mineral). Apabila membeli makanan di pasar atau pasaraya, pilihlah makanan yang tinggi kandungan zat atau nutrien. Jika membeli makanan yang sudah diproses, baca maklumat nutrien yang tercatat di pembalut atau bungkusannya.

Menyedari kesedaran orang ramai terhadap keperluan makanan seimbang yang semakin meningkat, restoran-restoran termasuk rangkaian restoran makanan segera mula menawarkan makanan yang lebih berzat di restoran mereka. Berbekalkan ilmu mengenai pemakanan seimbang, kita mampu membuat pilihan bijak bila berkunjung ke restoran berkenaan.

Mar
18

Kesihatan Optimum – Apa Rahsianya?

Mengikut Dr. Abdul Aziz, pakar fisiologi saraf, ada 4 perkara penting untuk mendapatkan kesihatan optimum – pemakanan, senaman, rehat dan sikap mental.

Pemakanan – semua orang tahu yang kita kena makan makanan seimbang agar kita mendapat nutrien yang diperlukan. Sekiranya nutrien yang diperolehi dari makanan tidak mencukupi, Dr. Abdul Aziz menyarankan kita mengambil pemakanan tambahan atau suplemen. Kita tahu yang kekurangan nutrien yang diperlukan tubuh akan mengundang pelbagai penyakit. Namun, kerana sibuk bekerja, ramai di antara kita kata tak pa lah. Kita ingin percayai yang kita akan OK, tak akan dapat penyakit kritikal macam orang lain.

Dulu saya berkeberatan untuk mengambil suplemen walaupun saya tahu saya tidak mendapat cukup nutrien dari makanan seharian. Pada masa itu perkara lain lebih bernilai dari menjaga kesihatan. Namun apabila keutamaan saya sudah berubah, mengambil suplemen tidak lagi menjadi beban kepada saya.

Bersenam? Sama juga, tiada rahsia – semua orang tahu bersenam tu perlu untuk menjamin kesihatan kita. Semua orang percaya senaman tu baik untuk kesihatan. Senaman boleh mengekalkan kesihatan jantung, organ tubuh kita yang terpenting. Tapi kenapa kita tidak mempunyai komitmen untuk bersenam. Mari kita renungkan bersama kenapa kita MALAS bersenam. Tanya KENAPA sekurang-kurangnya 5 kali dan lihat apa yang timbul. Kemudian buatlah keputusan, nak bersenam atau tidak. Jika sudi, kongsilah dengan para pembaca apa yang diperolehi dari muhasabah tersebut.

Yang ketiga kata Dr. Abdul Aziz ialah rehat yang cukup. Ini pun semua orang tahu – bukan rahsia. Kita kena tidur secukupnya, tapi kadang-kadang (lebih ke arah selalu), siaran TV seperti Liga Perdana Inggeris lebih penting dari tidur. Melayari Internet lebih penting dari tidur. Tidur boleh MEMULIHKAN OTAK. Saya pun kadang-kadang terfikir, mana lagi penting – memulihkan otak atau terujakan diri dengan siaran langsung Liga Perdana Inggeris.

Perkara keempat – sikap mental. Kata Dr. Abdul Aziz lagi, ada kaitan antara tindakbalas tubuh kita dengan fikiran kita. Kalau kita mengambil sesuatu sebagai masalah, kita akan stres. Stres akan membawa kepada tekanan darah tinggi. Saudara/ri tentu pernah dengar cerita atau pernah sendiri alami, seseorang yang sihat akan demam bila beberapa orang rakan mengatakan beliau nampak demam dan beliau percaya dengan kata-kata rakan-rakan tersebut.

Hanya sekadar perkongsian untuk renungan kita bersama.

Tulisan berkaitan:

Mar
11

Tanpa Kesihatan, Kita Semua Miskin

Ramai orang yang mengorbankan kesihatan mereka demi mengejar kekayaan, kemudian mereka membelanjakan kekayaan mereka untuk mengembalikan kesihatan. Aneh ya, tetapi itulah kita… manusia.

Sekiranya kita mempunyai seekor itik yang bertelur emas, sudah tentu itik itu akan kita jaga dengan baik bagai menatang minyak yang penuh. Begitu juga dengan mekanik atau pengurus kilang, mereka akan menjaga peralatan dan jentera agar berfungsi dengan baik bagi memastikan pengeluaran yang optimum. Tapi bagaimana dengan jentera yang paling hebat di dunia, sumber utama kepada pengeluaran kita ia-itu badan kita? Adakah kita menjaganya dengan baik agar ia dapat berfungsi dengan baik dan memberi hasil yang optimum?

Tiada yang lebih bernilai dari kesihatan. Kita semua tahu, tapi kita agak berkeberatan untuk mengekalkan kesihatan kita pada tahap optimum. Kesihatan optimum bermaksud hidup bertenaga serta bebas dari gejala yang menyukarkan dan juga penyakit kronik. Kita seorang yang gagal bila kita mengabaikan kesihatan kita. Demi untuk mengejar kejayaan, kita sering tidak makan atau makan makanan yang tak seimbang. Kita juga tidak mengambil pemakanan tambahan untuk menampung kekurangan akibat pemakanan yang tidak seimbang. Kita tidak tidur dengan secukupnya, tidak bersenam… semuanya demi mengejar kejayaan.

Mari kita renung bersama pepatah Peranchis yang berbunyi, “Seorang yang sihat adalah seorang yang berjaya”.

Kita semua sedia maklum bahawa kita akan menghargai seseorang atau sesuatu apabila kita kehilangannya. Kita akan mulai menghargai kesihatan kita bila kita sudah mula kehilangannya. Sekiranya umur kita sudah melampaui 40 tahun, eloklah memberi perhatian kepada kesihatan diri. Sudah banyak sistem badan yang rosak akibat gaya hidup yang tidak sihat.

Mar
01

Kebergantungan Kepada Pemakanan Tambahan

Mungkin ada yang bertanya kenapa tahap kesihatan saya tak tip-top sedangkan saya mengamalkan pemakanan tambahan. Seperti yang semua sedia maklum, kesihatan optima dan lain-lain kelebihan yang kita ada adalah rezeki kurniaan Allah. Apa yang ingin saya bercerita di sini adalah sebab atau asbabnya.

Sebelum buat pemeriksaan kesihatan hari tu, saya ni tak jaga makan sangat. Maksud saya, tak pantang. Semua saya makan; makanan laut, daging kambing, daging lembu dan sebagainya (yang halallah). Bersenam dah lebih lima tahun berhenti. Bukan tak ada masa sebenarnya, tapi tak beri keutamaan untuk bersenam. Saya kira dengan mengambil pemakanan tambahan sudah cukup untuk menjamin tahap kesihatan saya. Selepas buat pemeriksaan baru tahu yang kebanyakannya “border line”. Saya kira kalau saya tak mengamalkan pemakanan tambahan, kemungkinan besar saya dah dapat pakej seperti kebanyakan rakan-rakan yang lain. Bacaan tahap kolesterol, paras gula dan tekanan darah mereka adalah tinggi. Seperti yang diceritakan sebelum ini, saya dah mula bersenam kembali. Makanan laut masih makan seperti biasa cuma saya kurangkan makan daging lembu dan kambing serta makanan berlemak.

Catatan terdahulu «

» Catatan Terkini