Merokok Meningkatkan Risiko Anak Mendapat Asma
Kajian mendapati bahawa lelaki yang merokok akan meningkatkan risiko anak mereka mendapat asma – walaupun mereka telah lama berhenti sebelum pasangan mereka mengandung.
Kajian yang dijalankan di Universiti Bergen, Norway mendapati bahawa semakin awal seseorang lelaki merokok, semakin tinggi risiko anaknya mendapat asma bukan alergi. Menurut Cecilie Svanes, yang mengetuai kajian tentang tabiat merokok yang dijalankan ke atas 13,000 orang lelaki dan perempuan, lelaki yang mula merokok sebelum usia 15 tahun akan meningkatkan risiko anak mereka mendapat asma sebanyak tiga kali ganda.
Penyelidik mendapati bahawa sperma lebih mudah terkesan dengan bahan berbahaya pada peringkat awal perkembangannya.
Tetapi lelaki yang mula merokok pada usia yang lebih tua juga berpotensi untuk membahayakan anak yang bakal dilahirkan, terutamanya jika dia merokok untuk tempoh yang lama.
Kajian mendapati bahawa jika lelaki telah merokok lebih daripada 10 tahun sebelum pasangannya mengandung, risiko anak mereka mendapat asma meningkat sebanyak 50%.
“Berasaskan hasil kajian ini kami beranggapan bahawa pendedahan kepada apa-apa pencemaran udara di tempat kerja dan pendedahan kepada bahan kimia juga boleh memberi kesan,” kata Svanes.
Kajian tidak menemui sebarang hubungan antara ibu yang merokok sebelum mengandung dengan penyakit asma anaknya. Namun merokok ketika mengandung akan memberi kesan kepada bayi yang sedang dikandung.
Kajian ini telah dibentangkan di Kongres Antarabangsa Persatuan Respiratori Eropah yang diadakan di Munich, Jerman baru-baru ini. – dpa
Leave a Reply