Kurang Tidur Boleh Sebabkan Kegemukan
Kajian yang dijalankan di Amerika baru-baru ini mendapati kurang tidur, didefinisikan sebagai kurang dari tujuh jam satu malam, meningkatkan pengambilan minuman bergula, dan boleh meningkatkan risiko obesiti.
Penyelidik daripada Universiti Alabama meneliti data daripada 28,150 orang dewasa Amerika berumur antara 21 ke 65 yang turut serta dalam Kajian Penggunaan Masa Amerika di antara tahun 2006 ke 2008.
Dengan data tersebut penyelidik menganalisis masa yang dihabiskan oleh peserta untuk makan dan minum utama, makan dan minum sekunder, dan berapa lama mereka tidur setiap malam.
Makan sekunder adalah makan “sambil melakukan aktiviti lain seperti menonton TV”. Minum sekunder juga berlaku ketika melakukan aktiviti lain tetapi meminum minuman selain daripada air — seperti minuman dimaniskan dengan gula.
Penyelidik mendapati peserta yang kurang tidur, kurang daripada tujuh jam satu malam, terlibat dengan makan sekunder 8.7 minit lebih lama dalam satu hari berbanding mereka yang cukup tidur, tujuh ke lapan jam satu malam.
Di samping itu mereka juga dilaporkan terlibat dengan minum sekunder 28.6 minit lebih lama dalam satu hari pada hari bekerja dan 31.28 minit pada hari minggu.
Gabriel S. Tajeu, salah seorang daripada penulis kajian, mengulas dapatan kajian dengan mengatakan tidur sekejap mempunyai hubungan bukan sahaja dengan makan sekunder, tetapi juga minum sekunder.
“Ini berpotensi menunjukkan kaitan antara tidur pendek dengan peningkatan pengambilan kalori dalam bentuk minuman dan makan tanpa sedar dan dengan itu peningkatan risiko obesiti, walaupun lebih banyak kajian diperlukan.”
Dapatan kajian ini diterbitkan atas talian dalam American Journal of Health Promotion.
Kajian Perancis yang diterbitkan awal tahun ini juga mendapati “tidur kurang daripada enam jam dalam tempoh 24 jam bermakna mendedahkan diri kepada risiko obesiti.”
Kajian yang dijalankan oleh Institut Tidur dan Kewaspadaan Perancis (INVS) dan syarikat insurans kesihatan Perancis MGEN, meneliti data daripada 49,086 individu dan mendapati kegagalan mendapat tidur yang cukup dikaitkan dengan peningkatan risiko obesiti, dengan penemuan menunjukkan bahawa tidur kurang daripada enam jam setiap malam meningkatkan risiko berat badan berlebihan yang serius sebanyak 34% bagi wanita, dan sebanyak 50% untuk lelaki.
Kajian ini juga mendapati bahawa tabiat tidur yang buruk boleh membawa kepada tabiat makan yang buruk, dengan mereka yang tidur kurang dan banyak makan makanan ringan di antara waktu makan, dan terutamanya pada waktu malam apabila keletihan menyelubungi, yang membawa kepada keinginan kepada makanan manis untuk meningkatkan tenaga. Makan makanan ringan tersebut juga sebahagiannya disebabkan oleh gangguan hormon yang disebabkan tidak cukup tidur. – AFP Relaxnews
Leave a Reply