Raih Manfaat Berjalan Kaki , Berjalan kaki adalah cara terbaik untuk meningkatkan atau mengekalkan kesihatan anda secara keseluruhan. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang hari dan boleh dilakukan mengikut rentak anda sendiri. Anda boleh meraih manfaat berjalan kaki tanpa perlu bimbang tentang risiko berkaitan dengan beberapa bentuk senaman yang lebih berat. Bagi mendapat manfaat kesihatan, kita disarankan untuk berjalan selama sekurang-kurangnya 150 minit seminggu (5 kali 30 minit). Berikut disenarikan antara manfaat berjalan kaki: 1. Mengurangkan lemak badan dan mengekalkan berat badan yang sihat Berjalan kaki secara tetap boleh membantu mengurangkan lemak dan sebagai hasilnya, menurut penyelidikan, meningkatkan tindak balas badan anda terhadap insulin. Berjalan juga meningkatkan metabolisme dengan membakar kalori tambahan dan dengan menghalang kehilangan otot, yang sangat penting apabila kita semakin tua. Yang bestnya, kita tidak perlu memenatkan diri di atas treadmill untuk meraih manfaat berjalan kaki yang ini. 2. Mencegah dan mengawal pelbagai masalah kesihatan Kardiovaskular: Salah satu kajian yang paling banyak dipetik, yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine, mendapati bahawa mereka yang berjalan dengan mematuhi garis panduan aktiviti fizikal mempunyai risiko 30% lebih rendah untuk mendapat serangan jantung atau strok berbanding dengan mereka yang tidak kerap berjalan. Satu lagi kajian mendapati bahawa setiap 500 langkah tambahan yang diambil setiap hari dikaitkan dengan 14% lebih rendah risiko penyakit jantung, strok atau kegagalan jantung, terutamanya di kalangan orang dewasa yang lebih tua. Penyakit kronik: Kajian 2022 yang diterbitkan dalam Nature Medicine menunjukkan berjalan boleh mengurangkan risiko berbagai penyakit kronik. Berjalan sebanyak 8,200 langkah dapat mengurangkan risiko penyakit kronik termasuk: obesiti, apnea tidur, penyakit refluks gastroesophageal (GERD), gangguan kemurungan utama (MDD), diabetes, dan hipertensi. Lebih cepat, lebih jauh dan lebih kerap kita berjalan, lebih besar manfaat berjalan kaki yang kita akan perolehi. Tekanan dan ketegangan: Kajian 2018 yang diterbitkan dalam Health Promotion Perspectives menunjukkan bahawa berjalan kaki hanya 10 minit dapat mengurangkan kebimbangan dan kemurungan serta meningkatkan tumpuan dan kreativiti. Selain itu, penyelidikan menunjukkan bahawa berjalan-jalan di luar juga boleh membuat perubahan yang besar. Kajian 2022 yang diterbitkan dalam Molecular Psychiatry mendapati bahawa berjalan kaki selama 60 minit di alam semula jadi mengurangkan aktiviti di kawasan otak yang terlibat dalam pemprosesan tekanan. Sebaliknya, aktiviti otak di kawasan tersebut kekal stabil selepas berjalan kaki selama 60 minit dalam persekitaran bandar. Jom kita jadikan berjalan pantas sebagai amalan harian dan meraih manfaat berjalan kaki. Saya dah mula, anda bagaimana? Kesihatan Warga Emas