5 Petua Kesihatan Optimum , Terdapat banyak petua yang boleh diperolehi untuk mendapat kesihatan optimum. Dalam dunia moden ini kita dihujani dengan soalan tentang diet mana yang harus diikuti, rutin senaman yang mana yang terbaik, sehinggalah kepada jenis minyak yang kita patut digunakan untuk memasak. Di sebalik kekeliruan tersebut, kami bawakan lima petua kesihatan yang disokong oleh penyelidikan saintifik sebagai panduan anda. 1. Urus tekanan dengan baik: Tekanan atau stres mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan anda. Ia boleh memberi kesan kepada tahap gula dalam darah, pilihan makanan, mudah jatuh sakit, berat berlebihan dan banyak lagi. Oleh sebab itu adalah sangat penting untuk mendapatkan cara sihat untuk menangani tekanan. Terdapat profesional kesihatan yang mengesyorkan agar kita tidak menonton atau mendengar berita. Membaca akhbar pada setiap pagi memulakan hari anda di jalan yang negatif. Akhbar membawa kepada anda berbagai berita negartif, krisis demi krisis, ianya merosakkan hari anda. Bila bangun setiap pagi, kita hendaklah bersyukur dan berfikiran optimis. Memikirkan apa yang boleh disyukuri merupakan satu latihan yang hebat. Bersyukurlah kerana masih diberi peluang untuk hidup, masih punyai keluarga, masih punyai keupayaan untuk melihat dan berfikir. Tidak kira apa yang anda syukuri, apa yang penting adalah untuk sentiasa bersyukur. 2. Makan makanan sebenar: Makan makanan penuh, kurangkan makanan diproses, dan atasi ketagihan kepada makanan ringan (jajan). Makanan penuh adalah makanan yang tidak diproses, yang tidak mengandungi bahan-bahan yang diubah suai dengan ketara daripada bentuk asalnya. Ianya sering mengandungi bahan tambahan seperti gula tambahan, minyak bertapis, garam, pengawet, pemanis tiruan, warna dan juga perisa. Mungkin senang cakap tetapi sukar untuk diikuti, tetapi ia amat penting untuk kesihatan diri. Selain makan makanan yang betul, anda perlu kawal diri supaya tidak makan berlebihan. Makan berlebihan menyebabkan kita cepat tua, menambah kedutan, dan akan meningkatkan kemungkinan untuk memperolehi pelbagai penyakit seperti kanser, penyakit jantung dan kencing manis. Jika perlu, kurangkan jumlah (saiz hidangan) makanan yang dimakan. Dalam masa yang sama, tingkatkan peratusan makanan penuh dalam diet anda. Makanan penuh meningkatkan kesihatan dan juga meningkatkan sistem imun anda. Makan 7 hingga 13 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari dan kurangkan jumlah gula dan garam dalam diet anda. Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan serat prebiotik, vitamin, mineral dan antioksidan, yang sangat baik untuk kesihatan. Kajian menunjukkan mereka yang makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran cenderung untuk hidup lebih lama dan mempunyai risiko yang lebih rendah terhadap penyakit jantung, obesiti, dan penyakit lain. 3. Dapatkan tidur yang cukup: Kepentingan mendapatkan tidur berkualiti yang cukup tidak boleh dipertikaikan. Tidur yang kurang baik boleh mendorong rintangan insulin, boleh mengganggu hormon selera makan dan mengurangkan prestasi fizikal dan mental. Mereka yang tidak cukup tidur cenderung untuk membuat pilihan makanan yang tinggi lemak, gula dan kalori, yang berpotensi membawa kepada penambahan berat badan berlebihan. 4. Kerap bersenam: Melakukan senaman aerobik, atau kardio, adalah salah satu perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk kesihatan mental dan fizikal anda. Bersenam amat berkesan untuk mengurangkan lemak perut, jenis lemak berbahaya yang terkumpul di sekitar organ anda. Mengurangkan lemak perut boleh membawa kepada peningkatan besar dalam kesihatan metabolik anda. Kita harus berusaha untuk melakukan aktiviti intensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu. Kajian menunjukkan bahawa jika kita tidak aktif selama 72 jam, metabolisme badan mula berkurangan. 5. Pupuk hubungan sosial: Hubungan sosial — dengan rakan, keluarga dan orang yang anda sayangi — penting bukan sahaja untuk kesejahteraan mental anda tetapi juga kesihatan fizikal anda. Kajian menunjukkan bahawa orang yang mempunyai kawan rapat dan keluarga lebih sihat dan hidup lebih lama daripada mereka yang tidak. Jika anda sedang berusaha untuk hidup secara sihat, jangan fokus kepada makanan sahaja. Bersenam, tidur, dan hubungan sosial juga penting. Itulah lima petua kesihatan optimum yang boleh membantu anda menambahbaik kesihatan anda. Sebaik-baiknya amalkan hanya satu atau dua pada satu masa supaya anda tidak keletihan. Apabila amalan gaya hidup sihat ini sudah menjadi tabiat, anda boleh tambahkan lagi kepada rutin anda. Gaya Hidup Sihat